MISI membalas dendam sudah tercapai dan kini pencabar terkuat, Pahang bakal menanti dalam pertembungan ‘panas’ 15 Jun ini dalam perhitungan merebut gelaran Liga Perdana musim ini.
Seakan menyamai skrip, persaingan sengit antara Manchester City dan Manchester United dalam Liga Perdana Inggeris yang berakhir dengan kejayaan buat City, pentas kini tersedia buat Angkatan Tentera Malaysia dan Pahang untuk beradu kekuatan di Stadium Mini Temerloh bulan depan dalam perlawanan penentu kejuaraan yang menjanjikan habuan tidak ternilai, tiket kenaikan ke Liga Super musim depan.
Meskipun perlawanan itu bukan penamat dramatik seperti yang disaksikan di Etihad, Ahad lalu, namun kemenangan buat ATM akan memberikannya suntikan tonik terbaik bagi menghadapi baki kempen.
Tempoh tiga perlawanan bermula dengan pertemuan dengan Harimau Muda B minggu lalu disifatkan pengendali, B Sathianathan sebagai ujian getir pertama disusuli misi menebus maruah berdepan Sime Darby, lawan yang mencalarkan rekod sempurna tiga kemenangan berturut-turut pada awal musim.
Dendam yang tersimpan selama ini akhirnya terlerai apabila ketua pasukan, Hairuddin Omar menolak masuk hantaran lintang, Bruno Sebastian Martelotto empat minit sebelum tamat untuk menundukkan finalis Piala FA itu, 2-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya semalam.
Sebelum itu kedudukan terikat menerusi gol pendahuluan Irwan Fadly Idrus (m-20) yang disamakan pelawat oleh penalti Leondro Tofilo pada minit ke-73 selepas penyerang, Razali Umar Kandasamy dijatuhkan dalam kawasan bahaya.
“Kemenangan ini menebus maruah kami selepas tewas kepada mereka (1-2) pada pusingan pertama. Mereka tidak banyak menyerang dan saya agak terkilan selepas membenarkan mereka mendapat penalti.
“Selepas ini kami akan cuti dua minggu, selepas itu baru kami akan memikirkan mengenai Pahang. Kami perlu bermain lebih baik. Kami mensia-siakan banyak peluang pada perlawanan ini,” tambah Sathia.
No comments:
Post a Comment