Nov 27, 2013

SUNTIKAN FELDA BUAT PEMAIN HOKI REMAJA KEBANGSAAN


Pasukan hoki remaja kebangsaan menerima suntikan menjelang Piala Dunia Remaja bulan depan menerusi tajaan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).


FELDA tampil sebagai penaja pasukan kebangsaan dengan sumbangan RM500,000 bagi Piala Dunia Remaja yang bakal dilangsungkan mulai 6-15 Disember di Stadium Hoki Major Dhyan Chand di New Delhi, India, manakala pakaian rasmi pasukan ditaja oleh Kuckreja & Co.

Pengarah Besar FELDA, Datuk Faizoull Ahmad menyampaikan cek bernilai RM500,000 kepada Presiden MHC, Tengku Abdullah Sultan Haji Ahmad Shah pada majlis penyampaian penajaan di Hotel Royale Chulan di Kuala Lumpur. Majlis itu turut disaksikan oleh pegawai-pegawai teratas FELDA, MHC dan anggota pasukan remaja kebangsaan.

“FELDA berbangga untuk menjadi penaja buat pasukan remaja kebangsaan. Jumlah itu mungkin tidak banyak tetapi ia adalah tanggungjawab sosial kami untuk menyaksikan pasukan kebangsaan bersedia sepenuhnya untuk menghadapi Piala Dunia Remaja. Kami akan melakukan segala-galanya untuk memastikan misi ini tercapai,” kata Datuk Faizoull pada sidang akhbar untuk mengumumkan penajaan FELDA.

“Ia adalah harapan kami bahawa pasukan remaja kebangsaan beraksi menentang pasukan terbaik dunia dan pemain membanggakan negara dalam Piala Dunia Remaja. Piala Dunia Remaja adalah acara berprestij dan FELDA menyokong penuh perkembangan pasukan hoki di peringkat tempatan dan antarabangsa,” tambah Datuk Faizoull.

Pada majlis itu, MHC turut menyampaikan insentif wang tunai kepada pasukan remaja kebangsaan atas persembahan menggalakkan mereka pada Piala Sultan Johor di Johor Bahru. Malaysia seri 3-3 menentang India pada perlawanan kumpulan begitu pun tewas 3-0 pada pasukan sama dalam  final.

Tengku Abdullah berkata penajaan FELDA adalah suntikan yang hadir tepat pada masanya dan memuji usaha agensi kerajaan yang diasaskan untuk membantu dalam penempatan semula golongan miskin luar bandar ke kawasan yang dibangunkan tetapi kini meluaskan kepada pelbagai aktiviti pembangunan dan perniagaan.

“Bagi pihak MHC, saya mahu mengucapkan terima kasih kepada FELDA dan FGV atas sokongan berterusan dalam perkembangan sukan hoki dalam negara ini. Penajaan ini melambangkan komitmen, kepercayaan dan keyakinan mereka dalam pasukan remaja kebangsaan,” kata Tengku Abdullah sambil menambah bahawa MHC sudah mengubah sasaran empat teratas kepada enam teratas buat pasukan remaja yang berada dalam kemampuan mereka pada Piala Dunia Remaja yang menampilkan 16 pasukan.

“Kami mahu lebih banyak badan korporat, terutamanya daripada sektor swasta tampil ke depan dan menyokong pasukan kebangsaan dan komitmen MHC terhadap penstrukturan program hoki bagi meningkatkan mutu permainan dalam negara.”

Jurulatih pasukan remaja, K. Dharmaraj dan pengurus pasukan, Mirnawan Nawawi sudah menamakan 18 pemain bagi Piala Dunia Remaja termasuk ketua pasukan, Fitri Saari, Firhan Ashaari, Faiz Helmi Jali, Izad Hakimi Jamaluddin, Meor Azuan dan Rashid Baharom yang berpengalaman beraksi di peringkat senior, G. Kavin Kartikdan muka baru Joel Samuel Van Huizen.

Kavin, 21, adalah pemain negara yang kedua untuk bermain dalam dua Piala Dunia Remaja selepas penampilan pertahanan M. Devendran yang beraksi pada edisi Vancouver 1985 dan Ipoh 1989.

Kemasukan Joel pula menandakan kesinambungan legasi keluarga Van Huizen dalam melahirkan pemain hoki buat negara selepas datuk Joel iaitu Lawrence dan ayahnya Stephen, turut mewakili Malaysia pada Piala Dunia dan Olimpik.

Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama-sama New Zealand, England dan Afrika Selatan. Mereka membuka kempen menentang New Zealand pada 6 Disember, kemudian berdepan Afrika Selatan pada 8 Disember dan akhirnya England (9 Dis). Anak buah Dharmaraj perlu menamatkan saingan dalam kelompok dua teratas untuk melayakkan diri ke suku akhir.

New Zealand menamatkan cabaran di tangga keempat pada Piala Dunia Remaja 2009 di  Johor Bahru, manakala Malaysia berada di tempat ke-12 dalam saingan 20 pasukan apabila ditewaskan 3-2 oleh Belgium dalam perlawanan klasifikasi.

Pasukan kebangsaan akan berangkat ke New Delhi pada 1 Disember dan akan mengambil bahagian dalam perlawanan persahabatan menentang Jerman pada 3 Disember sebagai pemanas badan terakhir.

Skuad - Hazrul Faiz Ahmad Sobri (penjaga gol), Hafizuddin Othman (penjaga gol), Firhan Ashaari, Fitri Saari (kapt), Rashid Baharom, G. Kavin Kartik, Syamim Yusof, Shazril Irwan Nazli, Meor Azuan, Haziq Samsul, Izad Hakimi Jamaluddin, Azri Hassan, Zulhairi Hashim, Faiz Helmi Jali, Shahril Saabah, Joel Samuel van Huizen, Nor Aqmal Abdul Ghaffar dan Hafiz Zainol.