Sep 5, 2012

PENANTIAN 27 tahun terlerai buat ATM, muncul pasukan pertama layak ke suku akhir Piala Malaysia


PENANTIAN 27 tahun akhirnya terlerai buat Angkatan Tentera Malaysia apabila juara Liga Perdana itu muncul pasukan pertama mara ke suku akhir selepas menyingkirkan finalis tahun lalu, Terengganu 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu semalam.
Diundi dalam kumpulan sukar bersama juara Liga Super dan Piala FA, Kelantan, naib juara musim lalu, Terengganu dan  pemenang empat kali, Kedah, tidak ramai pemerhati yang meletakkan harapan tinggi kepada pendatang baru Liga Super itu untuk mara, namun keadaan sebaliknya berlaku apabila barisan bimbingan B Sathianathan jauh meninggalkan pesaing mereka yang lebih ternama.

Meskipun dibelenggu tajuk negatif akhbar sepanjang minggu ini, ATM tetap berwaspada dengan ancaman Terengganu yang menurunkan muka-muka baru, menggantikan Muslim Ahmad, Ismail Faruqi dan penjaga gol, Mohd Sharbinee Allawee.

Mohd Sharmiza yang mengambil alih tempat Sharbinee, bertindak cemerlang untuk menafikan Marlon Alex James pada minit ke-12, namun dia tidak dapat menghalang penyerang tinggi lampai St Vincent & Grenadines itu meraih gol keenamnya dalam kempen ini pada minit ke-74.
Rakan import, Bruno Sebastian Martelotto meledakkan jaringan pertamanya dalam Piala Malaysia tiga minit sebelum tamat untuk melengkapkan malam gemilang buat pelawat yang membuat penampilan pertama mereka dalam peringkat kalah mati sejak 1985.
Bagi Sathia, dengan tercapainya sasaran minimum yang ditetapkan pengurusan, ATM kini memasang impian untuk mara ke peringkat final seperti yang pernah mereka lakukan pada 1949 dan 1966.

“Tidak ramai yang memberikan kami peluang untuk mara ke suku akhir melihatkan kami adalah pasukan tunggal Liga Perdana dalam kumpulan ini. Namun kami berjaya melakukannya dengan menjadi pasukan pertama layak ke suku akhir  dan kini kami mensasarkan untuk mara sejauh mungkin dalam kejohanan ini,” katanya.

Dengan Kedah dan Kelantan sekadar terikat tanpa jaringan di Stadium Darulaman, kemenangan 2-0 ATM ke atas pasukan yang dibelenggu kemelut dalaman meletakkan ATM di kedudukan selesa Kumpulan B, bermaharajalela di persada dengan kelebihan dua mata ke atas Kelantan dan lima mata berbanding Kedah di tempat ketiga.

Seandainya tewas pada baki perlawanan terakhir menentang Kedah (14 September) sekali pun, ATM tetap akan layak sebagai salah satu daripada dua pasukan teratas. Kelantan hanya perlu seri pada pertembungan terakhir menentang Terengganu.

Kegagalan untuk mendapatkan keputusan positif ke atas Sang Penyu yang sudah tersingkir akan membuka ruang buat Kedah yang perlu menewaskan ATM sambil mengharapkan ihsan Terengganu menundukkan Kelantan dengan jumlah jaringan besar.

Sep 3, 2012

WASPADA ANCAMAN SANG PENYU


WASPADA ancaman Sang Penyu, krisis dalaman bukan bermakna kemenangan mudah di tempat lawan
DIBELENGGU krisis dalaman, bukan petanda bahawa Terengganu bakal diratah dengan mudah oleh pendahulu Kumpulan B, Angkatan Tentera Malaysia.
Sebaliknya, pengendali, B Sathianathan tetap berwaspada dengan ancaman Sang Penyu di tempat lawan esok dengan finalis tahun lalu itu masih mampu bergantu kepada pemain muda yang lain seandainya dua tonggak mereka tidak diturunkan berikutan dakwaan masalah disiplin.
“Saya fikir masalah dalaman yang melanda tidak akan menjejaskan mereka kerana mereka masih boleh menurunkan pemain muda yang lain.
Ia adalah bahaya untuk memikirkan bahawa kami akan meraih tiga mata yang diperlukan dengan mudah. Kami tidak perlu memikirkan mengenai masalah dalaman mereka tetapi memfokuskan terhadap persembahan kami di atas padang,” tambah Sathia.
Sungguh pun kecundang buat kali pertama dalam kempen Piala Malaysia musim ini, 3-4 di tangan Kelantan, Sabtu lalu, terdapat banyak aspek positif yang boleh diambil anak buah Sathia menjelang pertemuan ulangan menentang Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
ATM begitu hampir mengejutkan juara liga itu di laman sendiri, sesuatu yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana pasukan Liga Super musim ini sebelum dua jaringan pada 15 minit terakhir oleh Norfarhan Muhammad dan Nurul Azwan Roya mengekalkan rekod tanpa kalah mereka di Stadium Sultan Mohd IV.
Ketika pemerhati menyangkakan ATM berdepan kesukaran menghadapi tekanan menggila penyokong lawan, juara Liga Perdana itu menampilkan aksi tenang untuk menyerap asakan di samping melancarkan serangan balas berbahaya ke kubu penjaga gawang kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat.
Hasilnya tiga gol diraih pada separuh masa pertama menerusi dua ledakan Marlon Alex James yang kini gah dengan lima gol disusuli jaringan sulung Hairuddin Omar pada kempen Piala Malaysia untuk mendahului 3-2.
Namun, kealpaan barisan pertahanan lewat permainan membawa padah dengan Aidil Zafuan Abd Radzak dan rakan-rakan diharapkan dapat mengelakkan kesilapan sama dalam misi meraih tiga mata yang mampu membuka laluan buat ATM meraih tiket ke suku akhir.