Feb 22, 2013

Sathia congak pendekatan terbaik, optimis ATM terus rentak garang



Jurulatih serba boleh Angkatan Tentera Malaysia, B.Sathianathan tahu apa tonik mujarab yang diperlukan barisan pemain The Gladiators agar tidak terbuai dengan mimpi indah dengan kedudukan mereka sebagai pendahulu Liga Super, dan menuntut pemainnya terus memberi tumpuan penuh dalam meneruskan momentum kemenangan apabila ATM bertandang ke Kuala Terengganu, untuk pertemuan menentang tuan rumah Sabtu ini.

Kemenangan ke atas Selangor tempoh hari melonjakkan ATM sebagai pendahulu baru liga 12 pasukan dengan kutipan 14 mata, tetapi Sathia sedar kelebihan satu mata mengatasi Lions XII dan Selangor bukan kedudukan selamat buat pasukannya.

Justeru, Sathia mengesa anak buahnya tidak mengambil mudah pertembungan menentang Terengganu yang dianggap ramai kononnya ‘tempang’ tanpa kelibat beberapa pemain utama yang tersisih sama ada akibat kecederaan mahupun penggantungan perlawanan.

“Saya berpendapat apa yang diperlukan pemain saya ketika ini adalah persiapan mental yang baik, itu yang saya fokuskan pada ketika ini, persiapkan mereka secara mental agar mereka dapat mengatasi bahang yang semakin terasa ini dengan tenang.

“Bagi saya, siapapun lawan, kita tidak boleh ambil mudah dan kita menghormati Terengganu yang akan beraksi di laman sendiri, tetapi ATM tidak gentar dengan siapapun. Harus diingat perlawanan akan berlangsung pada waktu petang, ia akan menjadi lebih sukar berbanding perlawanan lain dan saya perlu ubah sedikit pendekatan.

“Ramai yang kata Terengganu tempang kerana kehilangan beberapa pemain seperti Faizal Muhamad, Ismail Faruqi dan sebagainya. Tetapi kami silap jika percaya dengan khabar angin sedemikian. Saya yakin Terengganu tetap memiliki kelebihan dan saya tidak mahu pemain saya tersilap menduga kekuatan mereka,” ujar Sathianathan.

Sathia juga menepis tanggapan bahawa kedudukan sebagai pendahulu memberi sedikit tekanan kepada pasukannya yang dijangka bergelut untuk mengekalkan kedudukan tersebut : “Kita berada pada kedudukan yang baik ketika ini, saya suka untuk melihat ATM di kedudukan teratas. Bagi saya ia akan memberi semangat tambahan kepada pemain untuk meneruskan rentak cemerlang yang ditunjukkan ini. Sebab itulah persiapan mental itu penting.”

ATM tidak tewas dalam saingan liga sejak 6 perlawanan lalu – mencatat empat kemenangan dan dua keputusan seri sejak tewas aksi pembukaan kepada Lions XII manakala ayam tambatan, Marlon Alex James pula melonjakkan namanya selaku pendahulu carta penjaring gol setakat ini dengan 6 gol.