May 15, 2012

CIMB-YFA DINOBATKAN JUARA BAWAH 12



 Akademi bola sepak belia CIMB Bintang Muda dinobatkan sebagai juara kategori bawah 12 Hong Leong Yamaha 2012 apabila mengejutkan pilihan APS Bintang Biru dari Pulau Pinang 1-0 pada final di Stadium Petaling Jaya hari ini.

A Shivan Pillay muncul wira buat CIMB-YFA (Ampang/Cheras) dengan menanduk masuk sepakan sudut Muhammjad Aniqi Khalidi pada minit ke-14. Pemain tinggi lampai itu yang tidak dikawal melonjak mengatasi pertahanan untuk mengarahkan tandukannya melepasi penjaga gol, Ilyos Qashwa yang hanya mampu melihat bola menembusi gawangnya.

Bintang Biru dianggap pilihan selepas aksi cemerlang mereka pada pusingan awal namun kegugupan di pentas akhir tatkala lawan mereka, CIMB-YFA, menampilkan persebahan tenang pada final kedua berturut-turut mereka, meranapkan impian mereka untuk muncul juara buat kali pertama.

Justeru, mereka turun dengan keazaman yang tinggi dan pulang dengan hadiah trofi kejohanan dan wang tunai serta barangan bernilai RM10,000.

Begitu pun, Bintang Biru yang berpangkalan di Butterworth, tidak pulang dengan tangan kosong dengan mereka meraih RM5,000 dalam wang tunai dan barangan – habuan buat pasukan yang sebelum ini berbangga dengan pencapaian terbaik mara ke suku akhir dua tahun.

Bintang Biru turut berbangga apabila Muhd Asyraf Izal merangkul gelaran penjaring terbanyak dengan 16 gol.

Turut membawa pulang gelaran individu, ketua pasukan CIMB-YFA, Muhammad Asif Maszary yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan pada final.

Bintang Biru, yang mara ke pusingan kedua dengan rekod tanpa kalah, memenangi kesemua 15 perlawanan mereka dalam Kumpulan B, menjaringkan 60 gol dan bolos hanya satu, menghadapi kesukaran untuk mengulangi rentak cemerlang yang ditunjukkan sebelum ini.

CIMB-YFA memasuki perlawanan ini dengan penuh yakin untuk menjuarai gelaran ini pada kali ini dan menampilkan persefahaman berpasukan tinggi dan juga disiplin di atas padang.



“Ia adalah habuan terbaik buat pasukan. Kami berusaha keras untuk kejohanan ini dan kami menanamkan keazaman untuk menebus kekecewaan tahun lalu. Saya begitu berbangga dengan pemain saya,” kata pengarah CIMB-YFA, A. Radhakrishnan, sambil menambah bahawa pasukannya akan menerima habuan istimewa daripadanya atas kejayaan memenangi gelaran tersebut.

Terdahulu, Jasmine Junior FC meraih tempat ketiga menerusi kemenangan 1-0 ke atas Proficient Football Academy. Muhamad Darin Ali Husin meledakkan gol kemenangan menerusi sepakan percuma pada minit ke-17.

SENARAI GELARAN

Juara: CIMB-YFA Bintang Muda

Naib juara: APS Bintang Biru, Penang

Tempat ketiga: Jasmine Junior FC

Tempat keempat: Proficient Football Academy

Pemain terbaik perlawanan (Final): Muhammad Asif Maszary (CIMB-YFA)

Penjaring terbanyak: Muhd Asyraf Izal (16 gol) (CIMB-YFA)

Penjaga gol terbaik: Ahmad Farhan Kahar (AB MBPJ)

No comments:

Post a Comment