May 4, 2012

ATM disuntik keyakinan menghadapi baki kempen Liga Perdana




KEPUTUSAN memberangsangkan yang dicatatkan pada dua perlawanan persahabatan baru-baru ini, menjadi suntikan tonik terbaik buat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berada pada tahap persiapan terbaik bagi menghadapi kempen Liga Perdana yang akan kembali menyingkap tirai esok.

Pendahulu liga, ATM akan melayan kunjungan MBJB di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, pasukan yang ditewaskan 5-0 pada pusingan pertama di tempat lawan, namun pengendali B Sathianathan enggan pasukannya bersifat terlalu yakin dengan persaingan semakin hangat untuk memburu kejuaraan.

Hanya gelaran juara yang menjamin kenaikan ke Liga Super musim depan dan dengan pencabar terdekat, Pahang hanya dipisahkan dengan perbezaan jaringan, setiap perlawanan mulai esok hingga akhir musim ‘umpama final’ dalam penentuan takdir anak buah Sathia.

Perbezaan jaringan dilihat sebagai faktor penentu seandainya ATM, Pahang serta pasukan yang semakin meningkat, Sime Darby menamatkan musim dengan jumlah mata yang sama, namun buat Sathia apa yang penting adalah persembahan mereka yang bakal menentukan hala tuju sebagai juara Liga Perdana.

“Perlawanan esok adalah penting untuk menilai persembahan mereka selepas tempoh rehat begitu lama. Diharapkan kami dapat mengekalkan tahap prestasi yang kami tunjukkan pada perlawanan persahabatan sebelum ini.

“Selepas ini, kami akan melalui tempoh paling getir yang bakal menentukan takdir kami sebagai juara Liga Perdana. Kami akan berdepan Harimau Muda, Sime Darby, Pahang. Tiada ruang buat kami untuk melakukan sebarang kesilapan,” tambah Sathia.

Sebelum ini, ATM meraih keputusan seri tanpa jaringan dengan pasukan Liga Super, T-Team manakala pada perlawanan persahabatan berikutnya, mereka berjaya meraih kemenangan 6-0 ke atas Tentera Laut Diraja Malaysia.

No comments:

Post a Comment