Nov 19, 2016

Turtles nyaris dibaham Tigris




Lebih sejam Terengganu Turtles cuba dikekang Johor Tigris namun hajat lawan untuk meranapkan rekod tanpa kalah tidak tercapai apabila pendahulu carta mata Liga Sepak Takraw (STL) 2016 itu tetap menang 21-16, 13-21, 21-15 hari ini.
Tekong, Izurin Refin/Zulkifli Razak, pelibas Kamal Alfiza Shafie dan pengumpan Azwan Muhrim terus membawa Turtles jauh ke depan dengan 18 mata menerusi kemenangan kesembilan itu terhadap Haidzir Rashid, Norhaffizi Razak dan Lutfil Hadi Azmi.
Kamal juga melenyapkan keraguan pada prestasinya ekoran kecederaan apit kanan utama, Fadzli Roslan apabila bergandingan mantap dengan Izurin mahupun Zulkifli yang memungut mata mudah dengan servis yang mengasak sebelah kiri Tigris.
Kuala Lumpur Thunder pula kini mengintai posisi pencabar terdekat Turtles milik Penang Panthers selepas menghimpun 10 mata dengan membenam Kedah Eagles 21-16, 21-17 dalam tempoh 55 minit untuk kekal di tangga ketiga.
Ahmad Aizat Mohd. Noor Azmi, Hafiz Rahman dan Amirul Zazwan Amir mengukuhkan status itu sekali gus membalas dendam kekalahan pusingan pertama mereka kepada lawan yang menampilkan Nazirul Akram Razali, Shahrol Nizam Romli dan Zuleffendi Sumari.
Perak The Bos Gaurus mengukuhkan cengkaman sebagai peneraju carta mata Divisyen Satu Liga Sepak Takraw (STL) 2016 dengan mencapai kemenangan keempat, menundukkan Pahang 21-17, 21-14 di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor hari ini.
Kini mengumpul lapan mata, mereka perlu menunggu pertembungan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) A dengan Putrajaya pagi esok untuk memastikan sama ada terus di situ atau kembali mengekori regu kebangsaan itu (enam mata) bagi minggu kedua saingan.
Tekong Meor Zulfikar Amin, apit kanan Fadzil Mustafa dan apit kiri Hafiz Zulkifli mengambil masa 41 minit untuk merangkul dua mata lagi terhadap Pahang yang dibarisi Syazwan Husin, Anas Muhaimi Asri dan Irwan Shah Rizal Amir Hamzah.
PSM A (Said Ezwan Said De/Idham Sulaiman, Ridaudin Ghani dan Safarudin Abu Bakar) terpaksa berhempas pulas untuk meraih kemenangan ketiga itu, 19-21, 21-11, 21-11 terhadap Sabah (Radzi Awang, Jaxon Amputong, Daut Amba).

Regu 'adik', PSM B (Faiz Roslan/Iskandar Zulkarnain Salim, Nazirul Akmal Rahman, Azmi Kadir/Hidayat Rashid Daud) pula ditimpa kekalahan sulung, kepada Putrajaya 10-21, 17-21 yang menyaksikan kembalinya Zulkarnain Arif atau digelar Abu. Berganding dengan pengumpan juara Sukan SEA 2005 ini dalam Putrajaya ialah tekong Nasiruddin Manjur Ahmad dan Putra Aidil Israfil Kamaruzaman serta Fadzlihaimi Jamaludin yang bergilir sebagai perejam atau apit kanan.





KEPUTUSAN:
SABTU (19 November 2016):
Liga Ekspres Perdana Sepak Takraw (STL):
Kuala Lumpur Thunder kalahkan Kedah Eagles 2-0 (21-16, 21-17)
Terengganu Turtles kalahkan Johor Tigris 2-1 (21-16, 13-21, 21-15)


JADUAL:

Divisyen 1 Liga Sepak Takraw (STL) :
Ahad (20 November 2016)
10am: Putrajaya lwn PSM A
11am: Sabah lwn PSM B
12pm: Sarawak lwn Selangor
1pm: Labuan lwn Perlis

Liga Ekspres Perdana Sepak Takraw(STL):
Ahad (20 November 2016): Johor Tigris lwn ATM Guardians (4pm), Kedah Eagles lwn Penang Black Panthers (5.30pm).

No comments:

Post a Comment