Nov 18, 2016

Panthers kembali memburu Turtles



Penang Panthers menambah dua mata bagi merapatkan jurang dengan pendahulu carta mata Divisyen Perdana Liga Sepak Takraw (STL) 2016, Terengganu Turtles apabila membenam Kelantan Warriors 21-13, 21-4 dalam perlawanan pusingan kedua di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor hari ini.
Tekong Syahir Rosdi, perejam Azlan Alias dan pengumpan Zaim Razali memastikan kemenangan keenamnya terhadap Hisyam Mat/Ikhwan Rahman, Nur Yuslie Jusoh (Aiman Fouzi) dan Saufi Salleh selepas 30 minit sekali gus menghimpun 12 mata, empat mata di belakang Turtles. 
ATM Guardians pula menunjukkan perwatakan sebenar selaku juara bertahan dengan kemenangan keempatnya sambil melonjak ke tangga keempat divisyen sama selepas membalas dendam terhadap Melaka Titans dengan kemenangan 21-15, 21-13 dalam tempoh 44 minit.
Regu Nazmi Najib, Afifuddin Razali dan Norfaizzul Razak hanya memerlukan 44 minit untuk mengatasi Sahidan Ali (Khobil Sapair), Amirul Asyraf Idris dan Zarlizan Zakaria 21-15, 21-13 sekali gus menambah derita Titans untuk terus menghuni tangga corot liga dan bakal tersingkir ke Divisyen Satu 2017.
Guardians yang dibimbing Aswadi Abdullah kini terikat lapan mata dengan Kuala Lumpur Thunder namun dibezakan jurang set menang dan set kalah dengan lawan di tangga ketiga itu hanya akan turun menghadapi Kedah Eagles esok.
Bagi Titans, inilah kekalahan ketujuh berturut-turut mereka yang turut memanjangkan kemarau mata liga sejak mengejutkan Guardians 13-21, 21-18, 21-18 dalam pusingan pertama STL, 1 Oktober lalu.
Sementara itu, Perak The Bos Gaurus menepati gelaran ‘pembunuh gergasi’ apabila menumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dibarisi bekas bintang negara 21-7, 21-10 sekali gus merampas teraju Divisyen Satu STL  2016 daripada PSM A hari ini.
Tekong Meor Ahmad Zulfikar Mat Amin, perejam Fadzil Mustafa dan pengumpan Hafiz Zulkifli memerlukan hampir sejam untuk memastikan Perak menguasai permainan dan mereka kini mengumpul enam mata selepas meraih kemenangan ketiga ini.
Perak menewaskan sebuah lagi pasukan bintang Selangor minggu lalu manakala Stadium MPSJ, Serdang Jaya, petang ini menyaksikan regu PDRM yang diketuai bekas tekong juara Sukan SEA 2005, Normanizam Ahmad tersungkur kali pertama.
PDRM, yang turun ke gelanggang hari ini selaku pasukan di anak tangga kedua carta mata, tidak mampu mengekang lawan biarpun memasukkan tekong pengganti Izzat Zainal Abidin, dua perejam Shaifullah Nor dan Syukri Hasan selain pengumpan Azli Jamil.
Sebuah lagi pasukan pilihan, Negeri Sembilan The Jangs turut memperbaiki kedudukan mereka selepas mencapai kemenangan kedua biarpun terpaksa diheret hingga set penentuan sebelum mampu menjinakkan Pahang 21-12, 14-21, 21-19.
Dua mata liga itu diperoleh Jangs dalam tempoh 63 minit menerusi penggunaan dua tekong, Izuan Efendi Alias dan Noramizi Nordin, dua apit kanan, Hafizul Hayazi Adnan dan Khairol Zaman Hamir Akhbar serta apit kiri, Syazreenqamar Salehan.
Pahang tidak kurang hebatnya kerana diperkuatkan bekas tekong Malaysia kelahiran Terengganu, Syazwan Husin dan perejam dari Selangor, Mohamad Arif Busu selain pengumpan Irwan Shah Rizal Amir Hamzah.Regu Selangor yang berpengalaman antarabangsa (Ahmad Sufi Hashim, Shafirul Nizam Zainal dan Farhan Adam) menewaskan Labuan yang diwakili regu pelapis kebangsaan 21-18, 21-13 selepas 41 minit manakala Perlis mencatat kemenangan sulung, menewaskan Sarawak 21-13, 21-18.



KEPUTUSAN:
JUMAAT (18 November 2016):
Liga Ekspres Perdana Sepak Takraw (STL):

ATM Guardians kalahkan Melaka Titans 2-0 (21-15, 21-13)
Penang Black Panthers kalahkan Kelantan Warriors 2-0 (21-13, 21-4)

JADUAL:

Divisyen 1 Liga Sepak Takraw (STL) :
Sabtu (19 November 2016)
10 am: PSM A lwn Sabah
11 am: PSM B lwn Putrajaya
12pm: Perak lwn Pahang
1pm: Negeri Sembilan lwn PDRM

Ahad (20 November 2016)
10am: Putrajaya lwn PSM A
11am: Sabah lwn PSM B
12pm: Sarawak lwn Selangor
1pm: Labuan lwn Perlis

Liga Ekspres Perdana Sepak Takraw(STL):

Sabtu (19 November 2016): Kuala Lumpur Thunder lwn Kedah Eagles (4pm), Terengganu Turtles lwn Johor Tigris (5.30pm).
Ahad (20 November 2016): Johor Tigris lwn ATM Guardians (4pm), Kedah Eagles lwn Penang Black Panthers (5.30pm).

No comments:

Post a Comment