PENANG
Panthers lebih gemar memikirkan untuk mengekalkan posisi kedua dalam carta mata
Divisyen Perdana Liga Sepak Takraw (STL) 2016 sekali gus mencerahkan peluang ke
separuh akhir daripada mengintai status peneraju yang kini dicengkam Terengganu
Turtles.
Bukan
bermakna mereka sudah mengibar bendera putih dengan ketinggalan empat mata
berbanding Turtles yang belum kalah dengan 18 mata tetapi kata pengurusnya,
Jeffary Abd. Malek, “biarlah kami hadapi satu persatu lawan dan fokus kami
sekarang ialah Kuala Lumpur Thunder, Ahad ini.
“Perkukuhkan
tempat kedua ini terlebih dahulu dan bila jumpa Turtles balik (2 Disember),
kami akan cuba (merampas teraju liga),” katanya selepas regu Mohamad Fazil
Asri, Kamal Ishak dan Zaim Razali memastikan kemenangan ketujuh setelah
menewaskan Kedah Eagles 21-16, 21-16, kelmarin.
Turtles
turut menjinakkan Panthers 21-16, 14-21, 21-19 dalam pertembungan buku dan ruas
pusingan pertama STL pada 11 November lalu yang dramatik malah mencatat rekod
kehadiran paling ramai penonton di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor.
“Thunder
pun pasti mahu menang dengan kami dan ATM Guardians kini mulai semakin mendapat
rentak (kedua-duanya terikat 10 mata di tempat ketiga dan keempat) jadi kami
pun tidak boleh leka sekarang,” katanya.
Mengenai
gandingan pilihan kedua yang menang hanya dalam 49 minit katanya, “kami akan
terus menggilirkan pemain supaya mereka mendapat suasana perlawanan sebenar
yang pastinya berbeza dengan sesi latihan.
“Sama
ada Fazil dan Kamal atau Syahir Rosdi dan Azlan atau lain-lain termasuk
pengumpan, Zaim atau Suhairi Sulaiman yang boleh bergandingan dengan sesiapa
sahaja perejam, kami perlu dapatkan keseimbangan regu.
“Syahir dan Azlan Alias tetap bersedia sebagai
gantian (menentang Eagles) namun jika prestasi pemain lain bagus, kami akan
kekal begitu,” katanya, merujuk regu bimbingan Mohd. Helmi Ismail ini yang
turut kalah kepada Guardians 13-21, 21-15, 21-18 dalam pusingan pertama, 15
Oktober lalu.
No comments:
Post a Comment