Aug 30, 2016

KLHC, TNB mahukan kemenangan


Kuala Lumpur (29 Ogos 2016): Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) mahu memastikan dapat meraih kemenangan apabila bertemu musuh tradisi Terengganu Hockey Team (THT) esok sekaligus meneruskan kemaraan kesaingan separuh akhir untuk merebut Piala Tan Sri P Alagendra.

Kedua-dua pasukan sedang berdepan masalah prestasi dengan KLHC sekadar meraih keputusan seri pada dua perlawanan terakhir Liga Premier sementara THT lebih malang apabila tewas 0-2 kepada Sapura semalam sekaligus kekalahan kedua selepas empat perlawanan.

Kedua-dua pasukan adalah finalis pada tahun lalu untuk saingan kalah mati ini dengan THT muncul pemenang, tetapi kali ini sama ada KLHC atau THT saja yang akan mara kesaingan separuh akhir.

Pengurus KLHC Ahmad Anuar Sham Kamar berkata, barisan pemainnya tidak mempunyai pilihan lain selain perlu mencatatkan kemenangan apabila bertemu THT esok di Stadium Hoki Batu Buruk sekiranya mahu beraksi di pentas final sekali lagi.

"Bagi saya, barisan pemain sudah mempamer aksi terbaik di saingan liga, tetapi keputusan akhirnya tidak memihak kepada kami.

"Sudah tentu kami mengharapkan kemenangan apabila bertemu THT. Kami memang tidak mahu kalah lebih awal.

"Apapun, kami tetap menghormati THT selaku juara bertahan dan saya jangkakan perlawanan pasti sengit," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Tenaga Nasional Berhad (TNB) Muhamad Amin Rahim berharap barisan pemainnya meneruskan rentak cemerlang mereka pada saingan liga di suku akhir bertemu Universiti Kuala Lumpur (UniKL) esok.


"Kami akan menganalisis corak permainan lawan dan akan melakukan strategi tertentu apabila bertemu UniKL nanti.

"Pada saya, antara kedua-dua pasukan, siapa yang benar-benar mahukan kemenangan, maka mereka pasti akan menang," katanya.

Piala Tan Sri P Alagendra
Sukuakhir
Esok (30 Ogos 2016)
Politeknik Malaysia lwn SSTMI, 5 ptg
(Stadium Hoki Taman Daya)
THT lwn KLHC, 5.30 ptg
(Stadium Hoki Batu Buruk)
ATM Airodlwn Sapura, 8 mlm
(Stadium Hoki Pantai)
UniKLlwn TNB, 6ptg
(Stadium Hoki Pantai)

No comments:

Post a Comment