Aug 2, 2016

TNB Yakin Kemampuan Pemain Tempatan


Pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersedia untuk memberikan saingan sengit dalam kejohanan TNB- Liga Hoki Malaysia 2016 berbekalkan kudrat pemain tempatan.
 
Dikenali sebagai pasukan yang mengasah dan membangunkan bakat muda menerusi Program Thunderbolt, TNB akan menjadi satu-satunya daripada enam pasukan dalam Liga Premier bakal beraksi tanpa pemain import.

Sejak penubuhan Liga Hoki Malaysia dari tahun 1987, TNB telah merangkul kejuaraan liga sebanyak lima kali, Piala TNB sebanyak tujuh kali dan kali terakhir memenanginya adalah pada musim 2009-10. Kesemua kejayaan ini adalah menerusi pemain tempatan yang dicungkil mereka.

Juara berganda, Pasukan Hoki Terengganu (THT), Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), Maybank, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Sapura semuanya pernah menggunakan khidmat pemain import dalam saingan liga.

Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman berkata: “Walaupun ada cadangan kepada TNB untuk membawa masuk pemain import, ia sudah menjadi polisi kami sejak sekian lama untuk terus menyokong dan membangunkan bakat tempatan. Kami juga sangat yakin pemain TNB akan memberikan aksi terbaik sepanjang kejohanan berlangsung.”

Beliau menambah, usaha-usaha pembangunan TNB seperti Program Thunderbolt dan Kem Bakat Hoki Remaja TNB telah menemui serta mencungkil beberapa pemain berbakat untuk diketengahkan.

Pemain yang menunjukkan prestasi memberangsangkan akan diserap ke pasukan senior. Objektif utama dan polisi TNB ketika ini adalah pembangunan pemain tempatan yang akan bermain untuk pasukan kebangsaan satu hari nanti.

Pasukan akan diketuai oleh penjaga gol veteran antarabangsa, S. Kumar termasuk beberapa bekas pemain berpengalaman seperti Shahril Saabah. Bekas ketua pasukan junior kebangsaan, Najib Hassan telah dinaikkan ke pasukan senior bersama Ramadan Rosli, Azril Misron, Nik Muhamad Aiman Nik Rozemi dan beberapa pemain lagi.

Bekas pemain kebangsaan, Mohamed Amin Rahim telah dilantik sebagai Ketua Jurulatih TNB dan akan dibantu oleh M. Kaliswaran.

Pertemuan pertama TNB dalam saingan Liga Premier adalah pada 19 Ogos ini bertemu pasukan Maybank di Stadium KLHA.

Senarai Pemain Dan Pegawai Pasukan TNB Untuk Musim 2016


Penjaga gol:S. Kumar, Mohd Fairus Wanazir



Pertahanan:Syed Mohamad Syed Cholan,Muhammad Najib Hassan, Muhammad Fariq Saadon, Shazril Irwan Nazli,Muhd Amirol Aideed



Tengah:Muhammad Firdaus Omar,Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran, Norhizzat Sumantri,Nik Muhamad Aiman Nik Rozemi,Muhammad Azammi Adabi, Muhamad Ramadan Rosli



Penyerang:Amir Farid Ahmad Fuzi, Azril Misron, Muhd.Hafiizhuddin Zaidi, Arif Sabron,Muhammad Shahril Saabah, Muhammad HusainiMohd. Husin



Pengurus: Datuk IR. Mohd Aminuddin Mohd Amin

Penolong Pengurus: Adam Izamry Idrus

Ketua Jurulatih: Muhamad Amin Rahim

Penolong Jurulatih: M. Kaliswaran


No comments:

Post a Comment