Aug 29, 2016

TNB tekad bangkit

Kuala Lumpur (25 Ogos 2016): Tenaga Nasional Berhad (TNB) mahu bangkit daripada dua kekalahan berturut-turut di saingan Liga Premier, TNB Liga Hoki Malaysia (LHM) apabila turun pada perlawanan ketiga bertemu Terengganu Hockey Team (THT) di Stadium Hoki Pantai, esok.

Ketua jurulatih TNB Muhamad Amin Rahim berkata, dua kekalahan awal iaitu 3-4 kepada Maybank dan 0-1 di tangan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) jelas menjejaskan motivasi barisan pemainnya.

Namun kemenangan besar 11-0 ke atas UiTM-KPT pada pusingan kalah mati Piala Tan Sri P Alagendra, Selasa lalu mengembalikan semula keyakinan barisan pemainnya untuk berdepan THT.

"Dua kekalahan awal itu bukan disebabkan pemain tidak bermain dengan bagus. Cuma gol yang diperolehi lawan itu adalah daripada kesilapan kami sendiri.

"Walaupun barisan pemain TNB rata-ratanya masih muda, saya dapat lihat mereka mampu bersaing dengan pasukan elit lain.

"Kami perlu realistik dan tidak boleh terlalu yakin apabila bertemu THT. Sudah tentu kami mahu mempamerkan aksi terbaik," katanya.

Sementara itu, UniKL pula bakal bertemu Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) pada satu lagi perlawanan esok di Stadium Hoki Pantai.

Ketua jurulatih UniKL Arul Selvaraj berkata, di atas kertas KLHC sememangnya pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan itu.

"Jika kami dapat meraih keputusan seri dengan mereka itu sudah satu kejayaan.
"Kami perlu memperkemaskan rentak permainan terutama di bahagian tengah kerana lawan mempunyai barisan pemain berkualiti.

"Kami juga perlu mengelak daripada memberi pukulan sudut penalti kepada lawan kerana mereka cukup bagus untuk menjaringkan gol menerusi gerakan itu," katanya.

TNB Liga Hoki Malaysia
Liga Premier
Esok (26 Ogos 2016)

Maybank lwn Sapura, 6 ptg
(Stadium MBMB)

UniKLlwn KLHC, 6 ptg
(Stadium Hoki Pantai)

TNB lwn THT, 8 mlm
(Stadium Hoki Pantai)

No comments:

Post a Comment