Sep 7, 2016

Syahir Rosdi Tagih Sokongan Padu Peminat



Kuala Lumpur (6 September, 2016): Tekong muda negara, Mohammad Syahir Rosdi mengharapkan sokongan padu peminat dalam saingan Sepak Takraw League(STL) 2016 yang akan bermula penghujung September ini.

Syahir merupakan salah seorang pemain yang berjaya membantu skuad sepak takraw negara menamatkan penantian 10 tahun pingat emas dalam acara regu di Sukan SEA 2015 tahun lalu.


Sejajar dengan kempen hashtag #inimilikkita, pemain itu berharap sukan sepak takraw di negara ini juga akan meraih populariti sama seperti sukan lain untuk terus berkembang. Kata Syahir, “Sokongan dan semangat orang Malaysia sememangnya sangat tinggi kerana mereka mahu melihat kita mencapai prestasi yang terbaik. Permainan kita juga memainkan peranan untuk memastikan penyokong sentiasa menyokong kita”. 

“Saya harapkan sokongan kepada sukan sepak takraw juga sama dengan sukan lain seperti sukan bola sepak yang sentiasa mendapat sokongan penuh daripada peminat,” ujar pemain dari Pulau Pinang yang baru berusia 20 tahun itu.
 
Pemain tinggi lampai itu bagaimanapun mengakui minat dan sokongan terhadap sukan sepak takraw di negara ini lebih rendah berbanding negara jiran,Thailand. Katanya, “Di Thailand, peminat mereka sangat berbeza. Mereka sangat fanatik dan saya harapkan peminat di Malaysia juga akan sentiasa menyokong sukan sepak takraw sama ada kita naik atau turun kerana kita perlukan sokongan padu daripada peminat”.

Syahir berharap STL adalah medan terbaik dalam “memulihkan” sokongan peminat terhadap sukan ini sekaligus mengembalikan fenomena ketika era 80-an dan 90-an di mana ribuan peminat akan memenuhi ruang duduk stadium untuk menyaksikan perlawanan sepak takraw pada waktu tersebut.


  
Kata pemain yang dikenali dengan gelaran “Panjang”itu lagi, “Bagi menarik sokongan peminat, televisyen perlu menyiarkan setiap perlawanan sepak takraw dan menganjurkan kejohanan sepak takraw yang besar dengan hadiah yang lumayan. Bagi saya STL adalah platform terbaik ke arah itu selain mengasah bakat pemain tempatan. Melalui STL saya harap penyokong dapat kembali menyokong sukan ini”.
 
Tambah pemain itu, dia turut mengharapkan prestasi dan komitmen pemain sepak takraw sentiasa berada pada tahap terbaik kerana melalui kejayaan ia akan membantu menarik sokongan peminat terhadap sukan sepak takraw.

Ujar Syahir lagi, kejayaan akan melahirkan perasaan bangga daripada peminat terhadap sukan tersebut. Katanya, “Untuk mengekalkan kebanggaan rakyat terhadap sukan ini, pemain perlulah menunjukkan permainan terbaik untuk meraih kejayaan. Selain itu, siaran langsung di televisyen juga dapat membina perasaan bangga rakyat terhadap sukan sepak takraw”.


Syahir bakal beraksi bersama Pulau Pinang dalam saingan STL 2016 yang akan bermula pada 30 September ini di Stadium Majlis Perbandaran Serdang.

No comments:

Post a Comment