Apr 15, 2012

SATHIA: "Saya masih menaruh kepercayaan penuh terhadap pemain saya"


ENGGAN mengambil tindakan drastik menggugurkan pemain, pengendali, B Sathianathan masih menaruh kepercayaan penuh kepada anak buahnya untuk bangkit selepas rentetan persembahan merudum yang menyaksikan pendahulu Liga Perdana, Angkatan Tentera Malaysia mengutip lama mata daripada empat perlawanan kebelakangan ini.

Daripada 12 mata yang ditawarkan, ATM hanya mampu meraih satu kemenangan, 2-0 ke atas Polis manakala baki tiga perlawanan berakhir dengan satu kekalahan, 0-2 ke atas Pos Malaysia dan dua keputusan seri, 2-2 masing-masing ke atas Majlis Perbandaran Muar dan terbaru, ke atas Polis, lawan yang ditundukkan dua minggu lalu.

Tandukan Irwan Fadly Idrus pada masa kecederaan ketika berdepan Polis, Jumaat lalu menyelamatkan maruah ATM yang menuju ke kekalahan ketiga musim ini dan seterusnya mengekalkan mereka di persada, hanya dipisahkan dengan perbezaan gol ke atas Pahang yang mengekori rapat.

Bagi Sathia, langkah untuk menggugurkan pemain sedikit pun tidak memenuhi benaknya ketika ini dengan bekas jurulatih kebangsaan itu yakin anak buahnya akan meningkatkan tahap persembahan mereka ketika bertandang ke Melaka untuk berdepan juara Piala FAM, NS Betaria FC esok (Stadium Hang Jebat, 4.45petang).

"Saya tidak akan menggugurkan mereka. Saya tahu mereka boleh bermain lebih baik daripada itu. Hanya, sedikit peringatan buat mereka, bahawa mereka menggalas tanggungjawab berat.

"Saya begitu kecewa dengan persembahan yang ditunjukkan kebelakangan ini. Daripada empat perlawanan, kami hanya berjaya mengutip lima mata.

"Kami berdepan saingan sengit daripada Pahang dan Sime Darby, justeru itu, tiada lagi buat ruang untuk pemain kehilangan tumpuan seperti yang ditunjukkan ketika perlawanan menentang Polis," tambah Sathia.

Pada perlawanan menentang NS Betaria, lawan yang ditundukkan 2-0 pada aksi pembukaan liga, Sathia tidak dapat menurunkan pasangan kembar, Aidil

Zafuan Abd Radzak dan adiknya, Zaquan Adha berikutan kedua-duanya dibelenggu demam.

"Selain Aidil dan Zaquan, saya dapat menurunkan kesemua pemain bagi perlawanan menghadapi NS Betaria," kata Sathia.

No comments:

Post a Comment