Apr 18, 2012

FITRI: “Tekanan terlerai selepas sekian lama kebuntuan gol


BERGELAR penjaring terbanyak Liga Perdana musim lalu, Mohd Fitri Omar tidak berdepan laluan mudah untuk menempatkan diri dalam kesebelasan utama Angkatan Tentera Malaysia musim ini.

Kerap diturunkan sebagai pemain gantian, pemenang Kasut Emas bersama MP Muar dengan 19 gol, itu terpaksa menunggu sehingga perlawanan ke-13 untuk menjaringkan gol pertamanya musim ini dalam kemenangan 7-0 ke atas NS Betaria di tempat lawan.

Mengakui dirinya tertekan atas kebuntuannya yang hanya terlerai Isnin lalu, penyerang berusia 27 tahun itu berharap akan diberi peluang lebih kerap oleh pengendali B Sathianathan meskipun menyedari saingan sukar yang perlu dihadapinya untuk menempatkan diri dalam barisan dilimpahi bintang ATM.

“Sebelum ini saya agak tertekan kerana gagal menjaringkan gol. Saya tidak banyak diturunkan dalam pasukan ATM, dalam 7,8 perlawanan, kebanyakannnya sebagai pemain gantian,” kata penggempur kelahiran Sabak Bernam itu.

“Saya main hari tu pun kerana kecederaan yang menimpa Hai-O (Hairuddin Omar). Saya akui bukan mudah untuk menempatkan diri dalam kesebelasan utama.

“Meskipun tidak dapat beraksi, saya menerima keputusan jurulatih kerana dia lebih mengetahui,” tambah Fitri.

Dengan tamatnya kebuntuannya di depan gol, Fitri berharap Sathia akan menaruh kepercayaan terhadapnya bagi perlawanan akan datang, berdepan MBJB pada 4 Mei selepas tempoh rehat dua minggu untuk memberikan laluan kepada kem latihan kebangsaan kendalian K Rajagobal bagi menghadapi Sri Lanka, 28 April ini.

No comments:

Post a Comment