Apr 25, 2012
MANCHESTER CITY ANNOUNCES VISIT TO MALAYSIA IN JULY
Apr 18, 2012
FITRI: “Tekanan terlerai selepas sekian lama kebuntuan gol
BERGELAR penjaring terbanyak Liga Perdana musim lalu, Mohd Fitri Omar tidak berdepan laluan mudah untuk menempatkan diri dalam kesebelasan utama Angkatan Tentera Malaysia musim ini.
Kerap diturunkan sebagai pemain gantian, pemenang Kasut Emas bersama MP Muar dengan 19 gol, itu terpaksa menunggu sehingga perlawanan ke-13 untuk menjaringkan gol pertamanya musim ini dalam kemenangan 7-0 ke atas NS Betaria di tempat lawan.
Mengakui dirinya tertekan atas kebuntuannya yang hanya terlerai Isnin lalu, penyerang berusia 27 tahun itu berharap akan diberi peluang lebih kerap oleh pengendali B Sathianathan meskipun menyedari saingan sukar yang perlu dihadapinya untuk menempatkan diri dalam barisan dilimpahi bintang ATM.
“Sebelum ini saya agak tertekan kerana gagal menjaringkan gol. Saya tidak banyak diturunkan dalam pasukan ATM, dalam 7,8 perlawanan, kebanyakannnya sebagai pemain gantian,” kata penggempur kelahiran Sabak Bernam itu.
“Saya main hari tu pun kerana kecederaan yang menimpa Hai-O (Hairuddin Omar). Saya akui bukan mudah untuk menempatkan diri dalam kesebelasan utama.
“Meskipun tidak dapat beraksi, saya menerima keputusan jurulatih kerana dia lebih mengetahui,” tambah Fitri.
Dengan tamatnya kebuntuannya di depan gol, Fitri berharap Sathia akan menaruh kepercayaan terhadapnya bagi perlawanan akan datang, berdepan MBJB pada 4 Mei selepas tempoh rehat dua minggu untuk memberikan laluan kepada kem latihan kebangsaan kendalian K Rajagobal bagi menghadapi Sri Lanka, 28 April ini.
Apr 15, 2012
SATHIA: "Saya masih menaruh kepercayaan penuh terhadap pemain saya"
ENGGAN mengambil tindakan drastik menggugurkan pemain, pengendali, B Sathianathan masih menaruh kepercayaan penuh kepada anak buahnya untuk bangkit selepas rentetan persembahan merudum yang menyaksikan pendahulu Liga Perdana, Angkatan Tentera Malaysia mengutip lama mata daripada empat perlawanan kebelakangan ini. Daripada 12 mata yang ditawarkan, ATM hanya mampu meraih satu kemenangan, 2-0 ke atas Polis manakala baki tiga perlawanan berakhir dengan satu kekalahan, 0-2 ke atas Pos Malaysia dan dua keputusan seri, 2-2 masing-masing ke atas Majlis Perbandaran Muar dan terbaru, ke atas Polis, lawan yang ditundukkan dua minggu lalu. Tandukan Irwan Fadly Idrus pada masa kecederaan ketika berdepan Polis, Jumaat lalu menyelamatkan maruah ATM yang menuju ke kekalahan ketiga musim ini dan seterusnya mengekalkan mereka di persada, hanya dipisahkan dengan perbezaan gol ke atas Pahang yang mengekori rapat. Bagi Sathia, langkah untuk menggugurkan pemain sedikit pun tidak memenuhi benaknya ketika ini dengan bekas jurulatih kebangsaan itu yakin anak buahnya akan meningkatkan tahap persembahan mereka ketika bertandang ke Melaka untuk berdepan juara Piala FAM, NS Betaria FC esok (Stadium Hang Jebat, 4.45petang). "Saya tidak akan menggugurkan mereka. Saya tahu mereka boleh bermain lebih baik daripada itu. Hanya, sedikit peringatan buat mereka, bahawa mereka menggalas tanggungjawab berat. "Saya begitu kecewa dengan persembahan yang ditunjukkan kebelakangan ini. Daripada empat perlawanan, kami hanya berjaya mengutip lima mata. "Kami berdepan saingan sengit daripada Pahang dan Sime Darby, justeru itu, tiada lagi buat ruang untuk pemain kehilangan tumpuan seperti yang ditunjukkan ketika perlawanan menentang Polis," tambah Sathia. Pada perlawanan menentang NS Betaria, lawan yang ditundukkan 2-0 pada aksi pembukaan liga, Sathia tidak dapat menurunkan pasangan kembar, Aidil Zafuan Abd Radzak dan adiknya, Zaquan Adha berikutan kedua-duanya dibelenggu demam. "Selain Aidil dan Zaquan, saya dapat menurunkan kesemua pemain bagi perlawanan menghadapi NS Betaria," kata Sathia.
|