May 21, 2010

SAM IS RIGHT !

SAM SPEAKS OUT !




Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) menyifatkan tindakan menyalahkan wartawan sukan dan media tempatan antara punca utama kegagalan skuad badminton negara ketika pusingan akhir Piala Thomas dan Uber, baru-baru ini, sebagai tindakan terburu-buru dan jalan mudah untuk melepaskan tanggungjawab di bahu.

Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif SAM sebulat suara dengan pendirian bahawa Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sepatutnya lebih teliti sebelum menuding jari sebegitu, tambahan pula kerana daripada analisis yang dilakukan, ianya tampak jauh tersasar daripada realiti.

SAM berbangga mempunyai ahli-ahli yang tahu peranan mereka sebagai wartawan sukan bertanggungjawab. Malah daripada penelitian sepanjang tempoh persiapan skuad negara, wartawan dan media tempatan memainkan peranan selaku ‘sahabat’ BAM menerusi penulisan dan pemaparan berita yang positif.

Tugas dan tanggungjawab media sukan tempatan adalah untuk sama-sama mendokong aspirasi sukan negara. Dengan pemain-pemain berstatus professional serta dilimpahi perhatian khusus - termasuk menerusi pendekatan sains sukan yang menyeluruh - mereka seharusnya tahu tanggungjawab perlu dipikul, tanpa perlu menyalahkan kehadiran media sebagai ‘pengacau’.

Amalan wartawan dan media tempatan menemubual pemain selepas sesi latihan adalah sesuatu yang sentiasa berlangsung. Malah ianya tidak pernah sebelum ini dianggap mengganggu dengan pemain-pemain negara sentiasa dapat juga menggapai kegemilangan di peringkat antarabangsa.

SAM berharap BAM akan dapat meneliti situasi ini dengan pendekatan rasional dan tidak bersikap terburu-buru hingga menjejaskan hubungan baik di antara BAM, SAM dan ahli-ahli sejak sekian lama.

SAM dan seluruh ahli-ahli sentiasa menikmati hubungan baik dengan semua Persatuan Sukan Kebangsaan dan berharap ianya mampu diteruskan berdasarkan kepada pendekatan saling menghormati tanggungjawab yang dipikul..

Sekian, terima kasih.

AHMAD KHAWARI MOHD ISA

Presiden,

Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM





2 comments:

  1. Execuses excuses saja dia orang tahu, dah kalah itu senyap and kerja saja. post mortem... apa post mortem buang masa dan duit..

    ReplyDelete
  2. Sebenarnya, jika mereka beraksi menentang Nigeria pada perlawanan pertama, mereka boleh mendapat extra power dan kematangan untuk menewaskan Jepun dan China, tapi malangnya Pasukan Nigeria tak sampai.Jadi saya berharap BAM boleh menganjurkan satu Trip ke Nigeria untuk bermain perlawanan persahabatan dengan mereka lain kali sebelum sebarang perlawanan TANPA liputan dari pihak media.Tapi kalau kalah, jangan kata kerana pihak media tak support.

    ReplyDelete