May 23, 2010

MSS KEDAH JUARA MUPC MALAYSIA

SKUAD Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSS) Kedah muncul juara Kejohanan Piala Premier Manchester United (MUPC) 2010 bawah 15 tahun (B-15).Kejayaan itu dicapai selepas MSS Kedah menewaskan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putera Kota Bharu, Kelantan 1-0 pada aksi final di Padang Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil semalam.

Selaku juara, MSS Kedah akan mewakili Malaysia pada kejohanan peringkat Asia Tenggara yang bakal berlangsung di Pulau Pinang, Jun depan.Jurulatih MSS Kedah, Mohd. Ridzuan Abdul Rahman ternyata berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh anak-anak buahnya dan mensasarkan untuk bergelar juara pada kejohanan peringkat Asia Tenggara nanti. "Pemain-pemain telah melaksanakan tugas mereka dengan begitu baik sekali pada perlawanan hari ini (semalam) biarpun ada di antara mereka yang terpaksa menahan kesakitan akibat masalah kecederaan. "

Selepas ini, kami akan kembali menjalani latihan seperti biasa bagi memperbaiki segala kelemahan yang ada dalam pasukan sebelum menghadapi kejohanan peringkat Asia Tenggara pula," jelas Ridzuan semalam. Pada aksi semalam, Muhammad Fitri Che Hassan muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan MSS Kedah dua minit sebelum wisel penamat dibunyikan
Sementara itu, tonggak tengah MSS Kedah, Muhammad Syafiq Ahmad dinobatkan sebagai Pemain Harapan MUPC 2010 berdasarkan persembahannya sepanjang kejohanan tersebut yang bermula 17 Mei lalu. Anugerah bagi penjaring terbanyak kejohanan pula dimenangi oleh Fitri manakala rakan sepasukannya, Mohd. Anis Ismail menerima gelaran penjaga gol terbaik.

SMK Putera yang terpaksa berpuas hati dengan muncul naib juara kejohanan pula memenangi anugerah Fairplay.

No comments:

Post a Comment