ISU pergeseran Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong (gambar), dengan Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), Karim Ibrahim, semakin parah.
Ini berikutan pegawai induk olahraga tanah air itu mendakwa Majlis Sukan Negara tidak telus dalam melaksanakan projek penurapan semula balapan latihan di Bukit Jalil kerana kerja berkenaan tidak mengikut prosedur sepatutnya.
Karim berkata kerja projek bernilai RM2.3 juta itu dilaksanakan tanpa mengambil kira pandangan Jawatankuasa Teknikal KOAM terlebih dahulu.
“Projek penurapan balapan olahraga di Bukit Jalil itu dibuat tanpa pengetahuan kami, ia tidak mengikut prosedur apabila MSN tidak merujuk kepada S Chinathamby (Pengerusi Jawatankuasa Teknikal KOAM) dan S Vegiyathuman. Projek itu dibuat secara senyap-senyap, tapi kenapa selepas siap baru nak panggil pegawai KOAM? Tiada tender terbuka, mungkin ada unsur-unsur penyelewengan.
“Kenapa isu trek ini ditimbulkan oleh Datuk Zolkples sedangkan mereka mendakwa trek itu sudah mendapat kelulusan daripada IAAF (Persekutuan Olahraga Amatur Antarabangsa)? Kenapa selepas empat bulan projek dilaksanakan, empat sejam sebelum serah semula trek itu baru nak panggil pegawai KOAM? Sepatutnya satu demi satu fasa projek itu siap ia perlu dimaklumkan kepada jawatankuasa teknikal,” katanya.
Selain itu, Karim memberitahu bahawa Zolkples melakukan pembohongan sebelum ini apabila mendakwa beliau menjadi dalang menghalang ketua jurulatih kebangsaan Harun Rasheed serta beberapa pegawai KOAM daripada menghadiri sesi pemeriksaan trek bersama kontraktor Khamis lalu.
“Saya tidak puas hati dengan tuduhan Datuk Zolkples itu, saya tidak pernah hantar SMS (sistem pesanan ringkas) menghalang pegawai saya dan Harun supaya jangan pergi, ia satu pembohongan. Saya tidak tahu kedudukan Harun dalam hal ini, kenapa dia kena pergi kerana tugas pemeriksaan ini sepatutnya dilakukan kepada pegawai teknikal KOAM. Saya mahu Datuk Zolkples menerangkan hal sebenar isu ini,” tegasnya.
Sebaliknya, Zolkples berkata tidak timbul mengenai isu penyelewengan mengenai projek penurapan semula trek berkenaan kerana ia dilakukan menerusi tender terbuka oleh Kementerian belia dan Sukan (KBS).
“Projek itu ikut prosedur, ia dilakukan menerusi tender terbuka oleh lembaga tender KBS jadi tidak timbul soal seleweng atau tidak telus.
“Mana boleh KOAM tidak tahu mengenai projek ini sedangkan kami sudah bentuk jawatankuasa teknikal yang turut dianggotai bekas jurulatih kebangsaan sebelum ini Hanapiah Nasir, malah Hanapiah sendiri yang banyak memberi cadangan mengenai spesifikasi yang perlu dilakukan ke atas trek itu.
“Tidak ada apa yang perlu saya jelaskan lagi, kalau beliau (Karim) tak puas hati, nak saman saya, samanlah,” katanya.
who is the owner of the track?
ReplyDelete