Oct 17, 2012

Azzuddin calon sandang jawatan Setiausaha Agung AFF



Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad ketika ini hangat dikaitkan sebagai calon utama untuk mengisi jawatan Setiausaha Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF). 
Jawatan itu ketika ini disandang oleh bekas Setiausaha Agung FAM iaitu Dato’ Sri Paul Mony Samuel namun dengan tempoh perkhidmatan beliau sudahpun tamat beberapa minggu lalu, serta keadaan kesihatan beliau yang tidak begitu mengizinkan, ia hampir pasti beliau tidak akan melanjutkan perkhidmatan dan nama Azzuddin menjadi sebutan seterusnya dikatakan calon paling layak untuk mengisi kekosongan itu berikutan pengalaman  beliau dalam arena bolasepak.

Untuk rekod, Azzuddin dilantik sebagai Setiausaha Agung FAM pada September 2007 menggantikan Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad dan sejak menjawat jawatan berkenaan, beliau secara tidak langsung telah terlibat di dalam memacu kegemilangan bolasepak tanah air antaranya menoktahkan penantian 20 tahun untuk memenangi emas Sukan Sea apabila pasukan negara meraih emas di Laos 2009 menewaskan Vietnam dan pada tahun berikutnya muncul juara Piala AFF Suzuki buat pertama kali menewaskan Indonesia.

Sebagai pemain, beliau pernah mewakili pasukan Angkatan Tentera Malaysia dan menyarung jersi negara sekitar tahun 1970-an, merupakan anggota skuad yang muncul naib juara Pestabola Merdeka pada 1972.

Keputusan akan dibuat dalam jangka masa yang terdekat, apa pun Presiden AFF Sultan Haji Ahmad Shah juga perlu dapatkan kata setuju dari majlis AFF. 


Oct 15, 2012

VENICE: “Kelajuan adalah aset bernilai yang dimiliki saya


DI dalam keghairahan pemain dan peminat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meraikan kejayaan mara ke final Piala Malaysia selepas 46 tahun, tiada pemain yang lebih gembira menantikan detik penentuan bersejarah itu Sabtu ini selain pemain sayap, Venice Elphi Danny Kaya.

Venice yang memiliki pangkat ‘Korporal’ (dua calit) adalah antara 6 pemain ATM yang turut menabur bakti bersama anggota bersenjata itu.

Menariknya, Venice, pemain kelahiran Kuching yang meraikan hari jadinya ke-28 dua hari sebelum perlawanan getir menentang Lions XII, itu mula menceburi bola sepak secara serius ketika mula menyertai Tentera pada 2005.

“Saya mula menyertai Tentera pada 2005 tetapi bakat saya mula dikesan pada 2007 dan seterusnya diserapkan dalam skuad Liga Perdana ATM pada hujung 2008. Sebelum itu saya bermain bola sepak secara suka-suka saja.

 “Dalam Tentera, saya diletakkan di bahagian teknikal. Fungsi bahagian teknikal ini adalah untuk mengendalikan operasi, workshop dan wiring,” katanya yang berpengkalan di Kem Sungai Besi.
Pemain dari suku kaum Iban Bidayuh itu dianggap sebagai ‘senjata sulit’ ATM dengan kemasukannya sebagai pemain gantian impak pada separuh masa kedua separuh akhir kedua tempoh hari mencetuskan huru hara dalam kalangan pertahanan Lions XII.

Kelajuan dan kelicikannya dari sayap kiri sukar dibendung dengan salah satu lariannya hampir membuahkan hasil namun Bruno Sebastian Martelotto gagal memanfaatkan hantaran lintangnya.
Jelas, kelajuannya menjadi  sandaran utama Sathia untuk menembusi pertahanan kental Kelantan Sabtu ini dengan gaya permainan Venice mengingatkan kepada ‘raja pecut’, Affendi Julaihi dan adik beradik Sari – Ramos dan Ramles - yang pernah mewarnai bola sepak Sarawak satu ketika dulu.
“Sememangnya kelajuan adalah aset bernilai yang dimiliki. Saya tidak kisah sama ada diturunkan sebagai pemain utama atau sebagai pemain gantian, asalkan saya dapat membantu ATM meraih gelaran Piala Malaysia,” katanya yang mengidamkan jaringan sulung kempen Piala Malaysia pada final nanti.

SATHIA: "Impian untuk bertemu Kelantan termakbul



IMPIAN pengendali Angkatan Tentera Malaysia, B Sathianathan untuk bertemu pasukan lamanya, Kelantan pada final Piala Malaysia menjadi kenyataan apabila The Red Warriors menempah tiket selepas menyingkirkan Selangor 3-0 secara agregat pada separuh akhir kedua kelmarin.
Sathia yang mendedahkan hasrat untuk bertemu bekas pasukannya selepas membawa ATM mara ke final pertama sejak 46 tahun berada di Stadium Shah Alam untuk menyaksikan anak buah Bojan Hodak meraih kemenangan 2-0 menerusi jaringan Mohammed Ghaddar pada minit ke-84 dan ketua pasukan, Badhri Radzi (m-90).

Timbal balik pertama di Stadium Sultan Mohammad IV berakhir dengan keputusan 1-0 dengan juara berganda itu yang memburu misi treble itu meneruskan rekod cemerlang mereka beraksi dalam 4 final dalam 5 musim sejak 2008.

“Terbukti Kumpulan B adalah ‘Kumpulan Maut’ pada kempen Piala Malaysia pada kali ini. Sehingga sekarang saya masih menyatakan bahawa Kelantan adalah pasukan yang terbaik di Malaysia.
“Kelantan adalah pasukan yang berpengalaman. Kedua-dua perlawanan kami di peringkat kumpulan adalah yang paling sukar buat kami sepanjang musim ini,” tambahnya.

Sedikit kelegaan buat Sathia berikutan Ghaddar, yang bertindak solo mengatasi tiga pertahanan sebelum menyungkit bola melepasi Norazlan Razali dan Norfarhan Muhammad yang tidak dapat beraksi pada final, 20 Oktober ini di Shah Alam berikutan penggantungan.

Namun, Sathia turut terkilan dengan ketiadaan bek tengah, Irwan Fadly Idrus yang terpaksa diketepikan selepas menerima kad kuning pada perlawanan getir menentang Lions XII tempoh hari.
“Sungguh pun Ghaddar dan Norfarhan tidak dapat beraksi, mereka masih memiliki pemain lain yang mampu mencipta masalah buat kami. Tanpa Piya (Badhri) sekali pun (yang masuk sebagai pemain gantian) mereka masih memilki senjata ampuh untuk menewaskan Selangor.

“Kami akan merasai kehilangan Irwan Fadly. Dia adalah pemain kami yang paling konsisten di bahagian pertahanan. Saya mungkin menurunkan Taj (Amiridzwan) atau Reuben untuk mengisi kekosongan di bahagian itu,” katanya.

Oct 10, 2012

ATM di ambang menamatkan penantian 46 tahun beraksi pada final Piala Malaysia



PENANTIAN 46 tahun semakin hampir terlerai buat juara Liga Perdana, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang kini dipisahkan satu perlawanan daripada beraksi di pentas keagungan bola sepak tanah air, Piala Malaysia.

Tidak ramai yang masih mengingati kali terakhir ATM melayakkan diri ke final Piala Malaysia, pada 1966 ketika kejohanan itu dikenali sebagai Piala Malaya.

ATM mara selepas muncul sebagai juara Zon Selatan untuk bertemu Selangor, juara Zon Utara. ATM tewas 1-0 untuk mengulangi kekecewaan terhadap pasukan sama pada penampilan mereka sebelum ini di pentas akhir, 17 tahun sebelum itu.
 
Kini, ATM yang membuat rombakan besar-besaran musim ini berazam untuk menjadi pasukan ke-15 untuk menjuarai Piala Malaysia sejak ia diperkenalkan pada 1921.
 
Tetapi sebelum itu, ATM perlu mengatasi ujian getir berdepan naib juara Liga Super, Lions XII yang akan turun dengan misi membawa Piala Malaysia menyeberangi tambak Johor sejak kali terakhir melakukannya pada 1994.
 
Kelebihan satu gol tempat lawan yang dibawa hasil ledakan penyerang prolifik, Marlon Alex James seharusnya tidak disia-siakan barisan kendalian B Sathianathan pada pertembungan ‘hidup mati’ 11 Oktober (Khamis ini) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
 
Keyakinan untuk melangkah ke Stadium Shah Alam, gelanggang yang ditentukan pada final 20 Oktober ini bersandarkan kekuatan ATM untuk menjaringkan gol dalam semua perlawanan yang dilalui musim ini, tidak kira di tempat sendiri atau lawan.
 
Kunjungan ke Negeri Sembilan, Kelantan membuahkan 3 gol manakala Kedah, Terengganu menjadi mangsa dua gol di tempat sendiri dengan Stadium Jalan Besar saksi kehebatan Marlon yang kini mengumpul 10 gol untuk bergelar penjaring terbanyak.
 
Di kubu sendiri, ATM yakin dengan kehebatan penjaga gol, Mohd Farizal Harun yang tangkas mengawal gawang bersama barisan pertahanan yang diketuai Aidil Zafuan Abd Radzak untuk menangkis segala serangan penyerang terbaik Liga Malaysia.
 
Dua penjaring terbanyak Liga Super, Francis Forkey Doe dan Emmanuel Effa Owona dinafikan di gelanggang sendiri dan tempat lawan, dalam laluan rekod bersih tanpa kalah di Selayang.
 
Corak serangan balas pantas yang diamalkan bekas jurulatih kebangsaan, B Sathianathan menyaksikan lawan kerap kali terperangkap dengan kelajuan pemain sayap di kiri dan kanan.
 
Buktinya, kelicikan pemain sayap kiri, Christie Jayaseelan gagal dibendung yang menyaksikannya meledakkan gol dalam kemenangan 3-2 ke atas Negeri Sembilan di Selayang pada timbal balik pertama.
 
Bahagian tengah kemas dikawal Bruno Sebastian Martelotto, pemain yang tidak asing lagi dalam kancah saingan Liga Malaysia berikutan penampilannya sebagai juara Piala Malaysia 2003 bersama MPPJ FC.
 
Kerajinannya menghambat bola di segenap pelosok padang menjadi pencetus kepada gol ketiga ATM ketika berdepan Negeri Sembilan di Paroi apabila merampas penguasaan daripada pemain tuan rumah sebelum melintangkan bola ke arah Marlon untuk menolak masuk gol ketiga dalam kemenangan 3-1.
 
Martelotto dianggap sebagai wira yang tidak didendang, membuka pentas buat pemain serangan seperti Christie, Hairuddin Omar, Zaquan Adha Abd Radzak, Marlon untuk menampilkan magis mereka di atas padang.
 
Zaquan akan kembali selepas penggantungan satu perlawanan untuk memberikan lebih banyak pilihan buat Sathia merencanakan strateginya.
 
Seandainya, kedudukan buntu, Sathia masih menyimpan senjata sulit bagi mengkucar-kacirkan pertahanan barisan bimbingan legenda, V Sundramoorthy – Venice Elphi Danny Kaya.
 
Jarang diturunkan dalam kempen Piala Malaysia, kelajuan Venice, pemain kelahiran Kuching berusia 28 tahun itu cukup digeruni dengan larian hampir separuh padang mencetuskan huru-hara bagi membuka laluan buat Marlon Alex James menjaringkan gol kemenangan 2-1 ke atas Terengganu di tempat sendiri.

Seandainya mara ke final, tiada siapa yang paling gembira selain Venice dan Suhhaimi Ishak, dua pemain bergelar Korporal yang setia menabur bakti di atas padang dan medan perbatasan.

 
Penjaring ATM dalam Piala Malaysia
Marlon Alex James – 10
Bruno Sebastian Martelotto – 3
Hairuddin Omar – 2
Zaquan Adha Abd Radzak – 1
K Reuben – 1
Christie Jayaseelan – 1
Aidil Zafuan Abd Radzak – 1

Oct 9, 2012

AFC ASIAN CUP


Melbourne: In its first meeting held in host country Australia, the AFC Asian Cup Organising Committee met under the chairmanship of AFC Vice-President HRH Tengku Abdullah Ibni Sultan Ahmad Shah and reviewed the preparations for the AFC Asian Cup Australia 2015™ on Tuesday.


At the outset, AFC Acting President Zhang Jilong praised the progress made by the Australian Local Organising Committee (ALOC) in staging a successful competition.


“I would like to congratulate ALOC for their tremendous work so far in starting to prepare the venues for hosting the biggest football competition in Asia," said Jilong.“This is only the beginning and there is a lot that needs to be done in the run-up to the competition but I am confident that Australia will host the best ever competition,” he said.


HRH Tengku Abdullah said the committee members were happy with the development so far and looking forward to the preliminary draw and logo launch later today.“We have the first big event of this competition today and I am sure Australia’s rich tradition and hospitality will leave an impression on all the team representatives and the committee members alike,” he said.


“There would be obstacles along the way but I am sure that AFC and the ALOC will face them together and find solutions to make the event a success.”The committee later approved the AFC Asian Cup Australia 2015™ logo.The members were briefed that the selection of host cities and stadiums would be finalised by April 2013. They were also informed about inspections by AFC teams to finalise the Stadium Technical Annex.ALOC CEO Michael Brown presented Australia’s planning and preparedness to host the event in 2015 - www.asianfootball.com

Sep 5, 2012

PENANTIAN 27 tahun terlerai buat ATM, muncul pasukan pertama layak ke suku akhir Piala Malaysia


PENANTIAN 27 tahun akhirnya terlerai buat Angkatan Tentera Malaysia apabila juara Liga Perdana itu muncul pasukan pertama mara ke suku akhir selepas menyingkirkan finalis tahun lalu, Terengganu 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu semalam.
Diundi dalam kumpulan sukar bersama juara Liga Super dan Piala FA, Kelantan, naib juara musim lalu, Terengganu dan  pemenang empat kali, Kedah, tidak ramai pemerhati yang meletakkan harapan tinggi kepada pendatang baru Liga Super itu untuk mara, namun keadaan sebaliknya berlaku apabila barisan bimbingan B Sathianathan jauh meninggalkan pesaing mereka yang lebih ternama.

Meskipun dibelenggu tajuk negatif akhbar sepanjang minggu ini, ATM tetap berwaspada dengan ancaman Terengganu yang menurunkan muka-muka baru, menggantikan Muslim Ahmad, Ismail Faruqi dan penjaga gol, Mohd Sharbinee Allawee.

Mohd Sharmiza yang mengambil alih tempat Sharbinee, bertindak cemerlang untuk menafikan Marlon Alex James pada minit ke-12, namun dia tidak dapat menghalang penyerang tinggi lampai St Vincent & Grenadines itu meraih gol keenamnya dalam kempen ini pada minit ke-74.
Rakan import, Bruno Sebastian Martelotto meledakkan jaringan pertamanya dalam Piala Malaysia tiga minit sebelum tamat untuk melengkapkan malam gemilang buat pelawat yang membuat penampilan pertama mereka dalam peringkat kalah mati sejak 1985.
Bagi Sathia, dengan tercapainya sasaran minimum yang ditetapkan pengurusan, ATM kini memasang impian untuk mara ke peringkat final seperti yang pernah mereka lakukan pada 1949 dan 1966.

“Tidak ramai yang memberikan kami peluang untuk mara ke suku akhir melihatkan kami adalah pasukan tunggal Liga Perdana dalam kumpulan ini. Namun kami berjaya melakukannya dengan menjadi pasukan pertama layak ke suku akhir  dan kini kami mensasarkan untuk mara sejauh mungkin dalam kejohanan ini,” katanya.

Dengan Kedah dan Kelantan sekadar terikat tanpa jaringan di Stadium Darulaman, kemenangan 2-0 ATM ke atas pasukan yang dibelenggu kemelut dalaman meletakkan ATM di kedudukan selesa Kumpulan B, bermaharajalela di persada dengan kelebihan dua mata ke atas Kelantan dan lima mata berbanding Kedah di tempat ketiga.

Seandainya tewas pada baki perlawanan terakhir menentang Kedah (14 September) sekali pun, ATM tetap akan layak sebagai salah satu daripada dua pasukan teratas. Kelantan hanya perlu seri pada pertembungan terakhir menentang Terengganu.

Kegagalan untuk mendapatkan keputusan positif ke atas Sang Penyu yang sudah tersingkir akan membuka ruang buat Kedah yang perlu menewaskan ATM sambil mengharapkan ihsan Terengganu menundukkan Kelantan dengan jumlah jaringan besar.

Sep 3, 2012

WASPADA ANCAMAN SANG PENYU


WASPADA ancaman Sang Penyu, krisis dalaman bukan bermakna kemenangan mudah di tempat lawan
DIBELENGGU krisis dalaman, bukan petanda bahawa Terengganu bakal diratah dengan mudah oleh pendahulu Kumpulan B, Angkatan Tentera Malaysia.
Sebaliknya, pengendali, B Sathianathan tetap berwaspada dengan ancaman Sang Penyu di tempat lawan esok dengan finalis tahun lalu itu masih mampu bergantu kepada pemain muda yang lain seandainya dua tonggak mereka tidak diturunkan berikutan dakwaan masalah disiplin.
“Saya fikir masalah dalaman yang melanda tidak akan menjejaskan mereka kerana mereka masih boleh menurunkan pemain muda yang lain.
Ia adalah bahaya untuk memikirkan bahawa kami akan meraih tiga mata yang diperlukan dengan mudah. Kami tidak perlu memikirkan mengenai masalah dalaman mereka tetapi memfokuskan terhadap persembahan kami di atas padang,” tambah Sathia.
Sungguh pun kecundang buat kali pertama dalam kempen Piala Malaysia musim ini, 3-4 di tangan Kelantan, Sabtu lalu, terdapat banyak aspek positif yang boleh diambil anak buah Sathia menjelang pertemuan ulangan menentang Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
ATM begitu hampir mengejutkan juara liga itu di laman sendiri, sesuatu yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana pasukan Liga Super musim ini sebelum dua jaringan pada 15 minit terakhir oleh Norfarhan Muhammad dan Nurul Azwan Roya mengekalkan rekod tanpa kalah mereka di Stadium Sultan Mohd IV.
Ketika pemerhati menyangkakan ATM berdepan kesukaran menghadapi tekanan menggila penyokong lawan, juara Liga Perdana itu menampilkan aksi tenang untuk menyerap asakan di samping melancarkan serangan balas berbahaya ke kubu penjaga gawang kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat.
Hasilnya tiga gol diraih pada separuh masa pertama menerusi dua ledakan Marlon Alex James yang kini gah dengan lima gol disusuli jaringan sulung Hairuddin Omar pada kempen Piala Malaysia untuk mendahului 3-2.
Namun, kealpaan barisan pertahanan lewat permainan membawa padah dengan Aidil Zafuan Abd Radzak dan rakan-rakan diharapkan dapat mengelakkan kesilapan sama dalam misi meraih tiga mata yang mampu membuka laluan buat ATM meraih tiket ke suku akhir.