Aug 14, 2017

Pemain Paling Bernilai adidas Tango League Sedia Wakili Pasukan Kebangsaan

KUALA LUMPUR (14 Ogos 2017): Hazizi Mansor yang berjaya merangkul anugerah Pemain Paling Bernilai/ Most Valuable Player (MVP) dalam kejohanan adidas Tango League Sabtu lalu mengakui sudah bersedia untuk mewakili pasukan kebangsaan andai diberikan peluang satu hari nanti.

Dalam kejohanan bola sepak jalanan yang berlangsung di KLCC itu, pemain yang beraksi untuk TOT United berjaya membantu pasukannya mempertahankan kejuaraan adidas Tango League selepas menang 2-0 mengatasi pasukan Sinchan FC di perlawanan akhir.

Hazizi berkata, “Saya memang mahu mewakili pasukan futsal Malaysia. Lagipun saya juga terpilih ke Brazil untuk bermain dalam Neymar Junior 5 sebelum ini. Jadi saya ingin mengutip sebanyak pengalaman yang mungkin semasa bermain di luar negara. Melalui pengalaman bermain dalam Liga Futsal Kebangsaan (LFK) dan umur saya yang sudah menjangkau 24 tahun, saya sudah bersedia bermain untuk Malaysia.

“Saya sekarang pun tengah terlibat dengan persediaan untuk LFK seterusnya bersama pasukan KL City, jadi satu bonus dapat bermain dalam adidas Tango League kerana memberi pendedahan futsal yang baik. Lagipun rakan-rakan saya dalam TOT United juga adalah pemain LFK, jadi bagi saya ianya satu pengalaman yang berguna kepada semua pemain,” katanya selepas tamat perlawanan.

Hazizi yang dinobatkan sebagai MVP kejohanan adidas Tango League bakal menerima tajaan produk sukan daripada jenama terkemuka itu untuk tempoh setahun.

Dalam pada itu, Pengurus Komunikasi dan Pemasaran Sukan adidas Malaysia, Tan Zhi Vern berkata pihaknya akan terus komited dalam membantu bola sepak di tanah air khususnya kepada pemain-pemain muda yang memiliki kualiti dalam sukan ini.

Zhi Vern berkata, “adidas akan terus memberikan sokongan terhadap bola sepak di negara ini khususnya kepada pemain-pemain muda yang sedang meningkat naik. Malahan dalam Sukan SEA KL2017 nanti, terdapat lapan orang pemain tajaan adidas yang berada dalam skuad bola sepak kebangsaan.

“Memang harapan kita untuk memastikan masa depan mereka dalam bola sepak lebih baik melalui tajaan kita. Malahan, pasukan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) juga turut ditaja oleh adidas,” tambah Zhi Vern.

Dia turut gembira dengan aksi yang dipamerkan oleh pasukan dalam kejohanan adidas Tango League dan mahu terus meningkatkan lagi kualiti liga anjuran adidas.
  
“Saya berasa gembira kerana pasukan yang bertanding untuk edisi kali ini sangat berkualiti seperti TOT United yang mengekalkan kejuaraan kali kedua berturut-turut. Selain itu, kita juga dapat mencungkil seorang lagi pemain MVP yang baru dengan aksi yang menarik dipamerkan oleh pemain tersebut.

“Kita mungkin akan tukar padang permainan kepada turf dalam edisi seterusnya. Jadi akan memberi keselesaan yang lebih baik untuk pemain beraksi sama ada menggunakan kasut boot atau turf,” katanya ketika ditemuramah kelmarin.

TOT United yang berjaya menjadi juara adidas Tango League membawa pulang wang tunai RM5,000 sementara naib juara iaitu Sinchan FC pula menerima RM3,000. Selain itu, semua pemain daripada lapan pasukan yang beraksi dalam liga ini juga turut mendapat pengalaman menggunakan produk adidas seperti kasut futsal dan pakaian sukan daripada adidas secara percuma.

Keputusan Penuh:

Pusingan pertama:
Chap Chicken FC 0-6 TOT United FC
Imperium 0-3 Hideout FC
One United 0-2 UITM Boys
Sinchan FC 1-0 Puchong Fuerza

Separuh Akhir:
TOT United 2-0 Hideout FC
UITM Boys 3-5 Sinchan FC

Akhir:
TOT United 2-0 Sinchan FC

No comments:

Post a Comment