Kuala Lumpur
(14 Mei 2017):
Selepas sekian lama mengimpikan untuk mara ke pentas final Piala TNB Liga Hoki
Malaysia, akhirnya AHP-MSP-Thunderbolt berjaya memenuhi impian itu selepas
menewaskan Anderson Thunderbolt pada aksi separuh akhir hari ini di Stadium Tun
Razak.
Bagaimanapun AHP-MSP tidak berdepan laluan mudah sebaliknya hanya
mencatat kemenangan mutlak menerusi penentuan penalti shoot out 4-2 selepas
kedua-dua pasukan terikat 3-3 tamat masa sebenar.
Dengan kemenangan itu, AHP-MSP akan bertemu SSTMI Thunderbolt pada aksi
final Ahad ini.
SSTMI mara ke perlawanan akhir selepas menundukkan BJSS Thunderbolt 3-0.
Ketua jurulatih AHP-MSP Mohd Sufian Muhammad nyata gembira dengan
kejayaan anak buahnya selain memberi pujian kerana berjuang habis-habisan untuk
mengesahkan tiket ke final.
"Sudah lama kami menantikan saat ini dan hari ini impian menjadi
kenyataan.
"Saya harus beri pujian kepada semua barisan pemain kerana mereka
bersungguh-sungguh untuk mencatatkan kemenangan.
"Ini kerana walaupun pada satu ketika sudah mendahului 3-1, tetapi
akhirnya perlawanan terpaksa ditentukan menerusi pukulan penalti shoot out.
"Akhirnya kemenangan tetap berpihak kepada kami.
"Terima kasih kepada semua pihak terutama TNB yang banyak memberi
sokongan kepada kami sehingga berjaya mara ke final," katanya.
AHP-MSP di depan seawal minit ke-5 menerusi jaringan padang Muhammad
Noor Firdaus Rosdi sebelum Muhammad Idris Samad menjadikan kedudukan 2-0 hasil
pukulan sudut penalti seminit kemudian.
Tersentak dengan dua gol awal itu, Anderson menggandakan asakan dan
akhirnya Muhd Aliff Ikhemal Zamri berjaya menyamakan kedudukan menerusi gol
padang minit ke-30.
Namun Muhammad Noor Firdaus Rosdi terus mengukuhkan kedudukan hasil
pukulan sudut penalti minit ke-32.
Anderson nyata tidak mudah menyerah kalah apabila Muhammad Akram Hakkam
Jammaluddin merapatkan jurang menerusi jaringan padang minit ke-38 sebelum dia
sekali lagi meledak gol penyamaan minit ke-51 untuk mengheret perlawanan
ke penentuan penalti shoot out.
No comments:
Post a Comment