Aug 28, 2013

Nasib Malaysia lebih mudah daripada musuh



 Nasib skuad Malaysia dianggap jauh lebih mudah dan baik berbanding tiga seteru utamanya, Thailand, Korea Selatan dan Indonesia atau mungkin Myanmar mulai Khamis ini.
Undian Siri Super ISTAF 1 di New Delhi, India, hanya menemukan anak buah Jamaluddin Hassan itu dengan Iran dan Amerika Syarikat dalam Kumpulan B yang tidak pernah menewaskan mereka dan berkedudukan dunia jauh lebih rendah.   
Tuah besar itu ternyata mencerahkan peluang Malaysia, pilihan kedua, mencapai sasaran jurulatihnya untuk ke separuh akhir yang bakal menemukannya dengan sama ada India atau Singapura mahupun bertembung semula salah satu lawan peringkat kumpulan tadi.
Amat berbeza buat juara bertahan dan Piala Dunia, Thailand yang perlu berentap dengan Myanmar yang cuba melakukan kebangkitan dalam arena sepaktakraw antarabangsa selepas sekian lama menyepi sepanjang Siri Super musim lalu. 
Kumpulan A ini turut meletakkan Jepun yang ranking dunianya lebih baik daripada Myanmar kerana penyertaan aktif mereka dalam Siri Super 2011-12 selain peningkatan permainan semasanya.
Mengandungi Korea Selatan, Brunei dan Indonesia, Kumpulan C menjanjikan persaingan yang seimbang bagi dua tempat teratas ke suku akhir manakala India dan Singapura perlu berentap sesama sendiri sebanyak dua kali bagi penentuan kedudukan Kumpulan D.
Atas status dan keistimewaan tuan rumah, India turut diletakkan pilihan keempat bagi kategori lelaki dan wanita di sebalik ranking sebenarnya.
Namun hasrat ISTAF (Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa) mendapatkan 12 pasukan lelaki dan lapan pasukan wanita apabila memulakan musim baharu 2013-14 tidak kesampaian apabila Filipina dan China menarik diri daripada kategori masing-masing pada saat-saat akhir.
Bagi kategori wanita, Thailand, juara bertahan dan dunia, menjadi batu penghalang utama Malaysia untuk mengintai tiket separuh akhir selain Jepun yang turut mengidam sekurang-kurangnya tempat kedua Kumpulan B.
Jika tuah turut mengiringi prestasi cemerlang, Malaysia berpeluang cerah memperbaiki pencapaian mengejutkan di tempat ketiga musim lalu biarpun perlu menempuh naib juara dunia, Vietnam dalam separuh akhir.
Pilihan kedua itu dijangka hanya disaingi sengit Indonesia namun tidak bermasalah untuk mengatasi Indonesia dan tuan rumah dalam Kumpulan A. 
UNDIAN SIRI SUPER ISTAF 1/2013-14 (INDIA)
Lelaki
Kumpulan A: Thailand, Jepun, 
Kumpulan B: Malaysia, Amerika Syarikat, Iran
Kumpulan C: Korea Selatan, Brunei, Indonesia
Kumpulan D: India, Singapura
Wanita
Kumpulan A: Vietnam, India, Indonesia, Korea Selatan
Kumpulan B: Thailand, Malaysia, Jepun

No comments:

Post a Comment