Aug 28, 2013

Aizat atau Izurin pilihan utama Malaysia?


Siapa pilihan utama jurulatih Jamaluddin Hassan sebagai tekong Malaysia dalam Siri Super ISTAF 2013-14, bakal ditentukan berdasarkan tahap lawan yang ditemui satu persatu.
Dengan sistem pertukaran pemain yang lebih terbuka, maksimum dan fleksibel, Ahmad Aizat Mohd. Nor Azmi dan Izurin Refin pasti perlu sentiasa bersedia menghadapi segala kemungkinan asalkan mampu memastikan kemenangan Malaysia.  
Hanya pengalaman antarabangsa, memisahkan mereka dengan pencapaian juara Piala EGAT di Lampang, Thailand, bulan lalu sebagai sandaran Ahmad Aizat.
Izurin, tekong kidal pula menimba pendedahan dengan kelab Chonburi dan Kalasin dalam Liga Sepaktakraw Thailand (TTL), baru-baru ini selain pernah menikmati aksi Piala Raja Thai, tahun lalu.
Pusingan pertama Siri Super ISTAF di Kompleks Sukan Indira Gandhi, New Delhi yang bermula Khamis ini, perlu dimanfaatkan kedua-duanya walaupun keserasian mereka masih perlu digilap dengan apit kiri, Farhan Adam dan apit kanan, Norshahruddin Mad Ghani atau Mohd. Kamal Alfiza Shafie.   
Jamaluddin berkata, Ahmad Aizat menjadi keutamaannya dalam Kejohanan Piala Presiden PSM di Kuala Lumpur, minggu lalu apabila servisnya cukup konsisten dan peratus kesilapannya sama ada terkeluar atau terkandas, didapati masih rendah.
“Izurin hanya bermain satu perlawanan Piala Presiden tetapi pengalaman TTLnya, masih mampu dijadikan aset apabila kami menentang lawan lebih handal seperti Thailand, Korea Selatan, Indonesia atau Myanmar. 
"Malaysia perlu ada seorang tekong kidal dan kanan. Ciri lain ialah kepelbagaian servis dan kemampuan mereka mencari sasaran yang sukar dihidu lawan," katanya.  
Thailand, juara bertahan siri ini dan Piala Dunia 2011, turut menampilkan tekong mirip musuh tradisinya itu pada muka baharu, Rattadech Noicharoen dan Sittipong Kamjan selain dua pelibas senior, Anuwat Chaichana dan Supachai Maneenat serta pengumpan utamanya, Pattarapong Yupadee.
“Pengalaman ramai pemain kita apabila kerap beraksi di Thailand, mengurangkan banyak rasa gerun mereka sebelum ini," katanya yang menyasarkan kemaraan ke separuh akhir Siri Super ISTAF di New Delhi. 

No comments:

Post a Comment