Mar 3, 2013

TAJ mahu kembalikan ATM ke landasan kemenangan, sasar tiga mata berdepan Perak


SELEPAS melalui dua keputusan mengecewakan, pertahanan tengah, Amiridzwan Taj Tajudin melaungkan tekad untuk mengembalikan Angkatan Tentera Malaysia ke landasan kemenangan pada pertemuan menentang Perak, Jumaat ini.
Dikecewakan 2-3 oleh Terengganu di tempat lawan, pendahulu, ATM kehilangan cengkaman ke atas kedudukannya di atas persada liga apabila hanya mampu seri tanpa jaringan berdepan Pahang, Jumaat lalu.
Meskipun menguasai perlawanan, the Gladiators gagal menembusi kekebalan benteng yang diterajui penjaga gol, Rosfaizul Azuar Ali dengan peluang terbaik dimiliki Taj pada babak kedua menerusi tandukannya yang singgah di palang.
“Apa yang boleh kami katakan, memang tiada rezeki pada dua perlawanan sebelum ini. Kami asyik keciciran mata sejak kebelakangan ini.
“Kami memang memiliki banyak peluang tetapi gagal memanfaatkannya. Tandukan saya memang tepat ke sasaran, tetapi apakan daya ia sekadar singgah di palang.
“Kami perlu bangkit pada perlawanan seterusnya menentang Perak,” katanya yang sudah meledakkan satu jaringan musim ini ketika berdepan Johor Darul Takzim.
Pemain tinggi lampai berusia 26 tahun itu memiliki sebab tersendiri untuk menampilkan aksi terbaik bagi perlawanan menentang Perak di Stadium Lumut menjelang tugasan antarabangsa menentang Yaman dalam kelayakan Piala Asia 2015.
Liga akan berehat dua minggu bagi memberi ruang buat barisan K Rajagobal berkumpul bagi mempersiapkan diri bagi menghadapi pasukan Asia Barat itu pada 22 Mac ini di Stadium Shah Alam dengan Taj mahu memastikan dirinya terus berada dalam senarai pengendali kebangsaan tersebut selepas aksi berdepan Qatar bulan lalu.
“Saya berharap akan diberikan peluang sekali lagi untuk menyarung jersi kebangsaan bagi perlawanan menghadapi Yaman. Diharapkan saya dapat meyakinkan jurulatih (K Rajagobal) untuk terus menyenaraikan saya bersama-sama pemain ATM yang lain,” tambahnya.

No comments:

Post a Comment