Feb 26, 2017

SSTMI Berjaya Pertahan Kejuaraan

KUALA KANGSAR (26 Februari, 2017): Pasukan Sekolah Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) terus membuktikan kewibawaan mereka dalam Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7s 2017     apabila berjaya membenam cabaran Sekolah Sukan Hong Kong (SSHK) 38-10 di perlawanan akhir yang berlangsung di padang ragbi MCKK sebentar tadi.

Kejuaraan kali ini juga adalah yang keempat buat pasukan dari Bandar Penawar itu dalam kejohanan Ragbi MCKK Premier 7s setelah pernah menjulang trofi NJ Ryan sebelum ini pada tahun 2011, 2012 dan 2016.

SSTMI bermula garang menerusi larian kencang Mohd Shah Fikri Osman yang menyempurnakan try pertama pasukan itu disusuli coversion oleh Hafizie Sudin untuk pasukan itu di depan 7-0.

Namun SSHK tidak mudah mengalah apabila pantas bangkit menghasilkan try pertama mereka bagi merapatkan kedudukan kepada 5-7. Selepas itu, giliran SSHK sekali lagi mendapat try kedua untuk mereka pula di depan dengan keputusan 10-7 mendahului SSTMI.

Perlawanan semakin rancak selepas itu. Kali ini SSTMI pula kembali mendahului SSHK menerusi menerusi try Muhd Helmie Iezlan Azmi menjadikan keputusan 12-10 mengakhiri separuh masa pertama permainan.

Bermula separuh masa kedua, Amir Danial Ross Effendy terus mengukuhkan pasukannya selepas pemain itu berjaya mendapatkan mata menerusi try untuk pasukan SSTMI mendahului 17-10.

SSTMI terus garang dengan memperoleh try keempat oleh Eddie Arrif Ferdaus Freedy disusuli coversion untuk SSTMI semakin garang di depan dengan kedudukan 24-10.

Tidak puas dengan itu, Suhairi Efendi Othman pula menyudahkan try kelima dan satu lagi coversion berjaya disudahkan menjadikan SSTMI semakin selesa mendahului SSHK 31-10.

Eddie Arrif Ferdaus Freedy terus menambah duka pasukan SSHK apabila dia sekali lagi berjaya membuat larian deras menewaskan pemain lawan diikuti coversion untuk SSTMI meninggalkan pasukan itu jauh di depan 38-10.
Keputusan itu kekal sehingga tamat masa permainan sekaligus menobatkan SSTMI sebagai penjulang trofi NJ Ryan sekali lagi pada tahun ini.

Jurulatih SSTMI, Syed Shazril Syed Mahadzir mengakui puas dengan kejayaan mengekalkan kejuaraan dan berazam untuk terus mempertahankan kejuaraan lagi pada edisi tahun hadapan.

Syed Shazril berkata, “Saya bersyukur kita dapat mengekalkan kejuaraan dan ini juga kejuaraan kali keempat buat pasukan serta kedua buat diri saya yang mengambil alih pasukan dari tahun 2014.

“Kami menjangkakan saingan sengit tetapi saya tahu Hong Kong tidak akan bertahan dalam cuaca panas jadi kelebihan adalah pada pasukan SSTMI dengan kecergasan pemain juga baik cuma mulanya saya agak risau mereka akan mengikut corak permainan pasukan lawan,” ujarnya selepas tamat perlawanan sebentar tadi.

Dalam penentuan tempat ke 3/4 kategori Cup, empat try dan satu coversion dari SMK Sri Mersing (SMSM) cukup untuk pasukan itu menang ke atas tuan rumah, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dengan keputusan 22-5 sekaligus meraih tempat ketiga dalam kejohanan tahun ini.

Sekolah Menengah Kebangsaan King Edward VII (KEVII) pula mengungguli kategori Plate. Mereka mengatasi English College dari Johor dengan keputusan 17-0.

Bagi kategori Bowl, pasukan dari Putrajaya iaitu Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) pula menghampakan Vajiravudh College (VC) dalam final. SAS menang 31-10 ke atas pasukan dari Thailand itu.

Kategori Shield pula dimenangi oleh pasukan SMK King George V (KGV) selepas mereka menumpaskan Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS) dengan keputusan 31-15 dalam perlawanan akhir.


Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Raja Muda Perak, Duli Yang Teramat Mulia Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa yang berkenan mencemar duli menyaksikan perlawanan di padang Ragbi MCKK.

No comments:

Post a Comment