KUALA
LUMPUR (8 Januari, 2017): Enam
pasukan mengesahkan kedudukan mereka ke peringkat kalah mati bagi merebut
kejuaraan SS Purple League (SSPL) musim ini selepas berjaya berada pada kelompok
enam pasukan teratas saingan round robin yang tamat di Stadium Badminton Kuala
Lumpur, Cheras sebentar tadi.
Pasukan tersebut adalah Kelab Badminton (KB) Muar
selaku juara, KB Bandar Utama Dragons, KB Puchong United, KB Petaling Jaya, KB
Ampang Jaya dan KB Petaling.
KB Bandar Utama Dragons yang beraksi pada
perlawanan terakhir di sebelah malam menang ke atas KB Bangsar Hawks 14-2.
Keputusan itu membolehkan mereka melonjak daripada tangga keenam liga ke tangga
kedua dengan mengumpul 97 mata.
Kelab dari Johor itu menang dalam acara
perseorangan lelaki pertama yang diwakili oleh Goh Soon Huat, seri dalam
perseorangan wanita melalui Goh Jin Wei, serta menang dalam beregu lelaki
menerusi gandingan Chooi Kah Meng/ Mak Hee Chun.
Dalam kategori beregu campuran yang diwakili Chow
Mei Kuan/ Tan Kian Meng mereka juga mencatatkan kemenangan dan pemain
perseorangan lelaki terakhir, Wei Nan juga menang dalam satu lagi acara
perseorangan lelaki sekaligus melengkapkan malam cemerlang kelab itu.
Menurut pengurus KB Bandar Utama Dragons, Jason
Wong, melonjak ke tangga kedua sekaligus layak automatik ke separuh akhir SSPL
adalah satu pencapaian yang cukup membanggakan.
Dia berkata, “Pemain kita memang bermain bagus
tadi, mereka berjaya mengatasi tekanan kerana kita sangat memerlukan 12 mata.
Mereka berjaya lakukannya sekaligus pasukan melonjak ke kedudukan kedua dan layak
secara automatik ke separuh akhir selepas ini.
“Memandangkan kita sudah di separuh akhir, jadi
saya harap pemain akan mengekalkan semangat berpasukan yang menjadi kunci
kemenangan kita selama ini dan terus mempamerkan aksi terbaik seterusnya layak
ke final,” ujar Jason selepas perlawanan.
Pada sebelah petang pula KB Petaling Jaya
melengkapkan perlawanan pusingan round robin dengan menewaskan KB Serdang 13-5.
Bagi jurulatih KB Petaling Jaya, Yeoh Kay Lun, dia agak kecewa pasukannya gagal
menempatkan diri dalam kedudukan dua teratas yang akan layak secara automatik
peringkat akhir nanti.
Kay Lun berkata, “Kita sebenarnya mengharapkan
untuk mengutip 15 mata dalam perlawanan terakhir tadi namun perseorangan wanita
gagal bermain baik hari ini. Apapun mereka telah cuba terbaik dan saya harap
kita lebih cemerlang di Genting Highlands nanti.
“Kita akan terus menjalani latihan selepas ini
sebagai persediaan menghadapi peringkat terakhir Purple League di Genting
Highlands dan saya harapkan pasangan beregu dari Korea Selatan yang akan
bersama pasukan nanti akan memperkuatkan lagi pasukan KB Petaling Jaya
sekaligus mampu menjadi juara,”ujar Kay Lun selepas tamat perlawanan petang
tadi.
Sebelum itu, dalam satu lagi perlawanan tengah
hari tadi, KB Kepong menamatkan saingan round robin dengan mencatatkan
kemenangan 11-7 ke atas KB Klang City. Namun mereka sekadar berada di kedudukan
ketujuh sekaligus terkeluar dari saingan untuk memburu kejuaraan.
Selepas
tamat saingan liga, peringkat kalah mati enam pasukan yang menduduki kedudukan
teratas liga akan berlangsung dari 9 hingga 12 Februari di Arena of Stars,
Genting Highlands bagi mencari juara SSPL musim ini. Pasukan bawahan liga pula
akan berentap menentukan kedudukan ketujuh hingga sepuluh. Undian pasukan yang
beraksi di peringkat kalah mati akan diadakan hari Rabu ini di Pearl
International Hotel, Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment