Jun 6, 2013

Perjuangan ini untukmu, Che Din!!


Persatuan Bolasepak Angkatan Tentera Malaysia mengucapkan setinggi takziah di atas pemergian Allahyarham Kamarudin Mohd Nor, pembantu jurulatih pasukan yang meninggal dunia pada 4 Jun kerana sakit jantung.

Antara tonggak senior pasukan, Irwan Fadzly Idrus berkata dia masih lagi terkilan dengan pemergian mengejut arwah yang disifatkannya sebagai seorang individu yang sangat rapat dan mesra sebagai ‘Che Din’ di kalangan para pemain.

“Tidak saya nafikan, pemergian beliau amat mengejutkan. Even pada hari beliau sakit, beliau masih lagi meluangkan masa untuk bersama-sama pemain di padang latihan. Seorang yang sangat tegas, susah untuk tengok beliau senyum di atas padang, tetapi di luar kami semua mesra bagai satu keluarga dan tiada jurang antara kami.

“Saya setiap hari akan duduk berborak dengan arwah, selepas latihan bersarapan pagi, beliau selalu bercerita bahawa ketika sebagai pemain beliau tidak pernah menjulang piala berprestij dan mahu kami di ATM menang piala yang besar seperti Liga Super atau Piala Malaysia. Beliau nampak pasukan ini ada potensi dan masa depan sangat baik, dan inilah peluang terbaik untuk melakukannya,” kata Irwan.

Jurulatih, B.Sathianathan yang turut bersama-sama beberapa pegawai pasukan untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham yang disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Panji, Kota Bharu, berkata kehilangan Che Din sesuatu yang sangat dirasai setiap anggota pasukan.

“Saya kenal beliau bukan setahun dua, bukan ketika menjadi jurulatih ATM sahaja, tetapi sudah berpuluh tahun. Sejak 80-an kami sudah berkawan, kemudian saya bekerjasama dengan dia di Kelantan, ketika itu arwah Pengarah Kejurulatihan Kelantan, dan kami terus bersama apabila berkhidmat di ATM, memang satu kehilangan yang besar.”

Sementara rakan karib Allahyarham, Hamid Ramli yang juga jurulatih penjaga gol ATM berkata : “Saya dan dia bukan semata-mata kenal satu sama lain atas dasar profesyen sebagai jurulatih, tetapi kami berkawan baik sejak dia mula-mula kenal bolasepak.

“Pada usia 18 tahun, dia adalah pemain termuda diserap ke skuad senior Kelantan, saya senior dia masa tu. Kami sama-sama beraksi untuk Kelantan, dan sama-sama dalam skuad kebangsaan. Kami menjadi rakan karib, dari zaman sebagai pemain hingga ke bidang kejurulatihan. Atas dan di luar padang, malah di ATM ini juga kami tinggal serumah.

“Memang ia satu yang cukup menghibakan,” ujar Hamid yang sama-sama menganggotai skuad pemenang emas Sukan Sea Jakarta 1979 bersama Allahyarham.
Untuk rekod, Allahyarham Kamarudin menyertai ATM sebagai pembantu jurulatih kepada Sathianathan pada 2012 dan terlibat antara tonggak yang membawa pasukan ini menjuarai Liga Perdana 2012 seterusnya finalis Piala Malaysia dalam apa yang disifatkan sebagai revolusi besar-besaran skuad ATM.

Segala sumbangan Che Din amat kami hargai dan sekali lagi, terima kasih di atas segala jasa Che Din di dalam mengangkat martabat ATM – jasamu dikenang. 

No comments:

Post a Comment