MEMASUKI babak kedua musim Liga Super 2013, pendatang baru, Angkatan Tentera Malaysia seharusnya mampu mengukir senyuman melihatkan kedudukan mereka di tempat keempat, dipisahkan dua mata dengan pendahulu, Lions XII selepas 11 perlawanan.
Namun ATM boleh dimaafkan sekiranya menyimpan sedikit rasa terkilan dengan perjalanan musim mereka sehingga kini yang ditentukan oleh urusan di luar padang secara khususnya, bilik mesyuarat jawatankuasa tatatertib Persatuan Bola Sepak (FAM) dan bukannya aksi di atas padang.
Berdepan kehilangan empat pemain kerana penggantungan atas pembabitan mereka di dalam insiden kontroversi 25 Januari lalu, ATM turun menentang Kelantan tanpa tiga lagi tonggak, Norfazly Alias berikutan kecederaan tulang pipi dan K Reuben dan Rezal Zambery Yahya yang terlepas susulan penggantungan automatik (tiga kad kuning).
Namun, ia tidak menghalang ATM untuk menampilkan aksi bersemangat untuk bangkit daripada ketinggalan dua gol sebelum kelekaan pada saat terakhir membuka ruang buat pelawat mencuri tiga mata penuh menerusi Nor Farhan Mohamad.
Pujian seharusnya tetap diberikan kepada ATM yang kini perlu mengharungi tempoh getir untuk sekurang-kurangnya satu perlawanan lagi menentang Kelantan pada 13 April sebelum menyambut kembali kepulangan Shukor Adan.
Bagi G Jeevananthan dan R Surendran mereka perlu menunggu sehingga akhir perlawanan menentang Lions XII pada 20 April untuk kembali ke pangkuan rakan sepasukan lain.
Pertahanan kiri, Fitri Omar, perlu menunggu lebih lama dengan bekas pemenang Kasut Emas yang beralih posisi ke bahagian bawah terpaksa menunggu sebelum sebelum menamatkan tempoh penggantungan empat perlawanan untuk berdepan T-Team pada 3 Mei.
Di sebalik latar belakang isu penggantungan ini, ia seharusnya tidak membayangi lakaran cemerlang ATM yang beraksi pada musim pertama di pentas elit domestik berikutan kejayaan the Gladiators menjulang gelaran Liga Perdana musim lalu.
Kehilangan tiga tonggak utama pada awal musim, Aidil Zafuan Abd Radzak, Zaquan Adha dan Azmi Muslim yang berpindah ke Johor Darul Takzim, tidak ramai yang memberikan peluang kepada ATM untuk mencabar kedudukan pasukan elit yang lain diketuai barisan berbelanja besar, JDT, kuasa baru, Kelantan dan tradisi, Selangor dan Singapura.
Namun, perkara sebaliknya berlaku dengan ketua pasukan, Hairuddin Omar dan rakan-rakan membuktikan mereka setanding dengan yang terbaik apabila meletakkan diri pada tampuk penguasaan pada perlawanan ketujuh menerusi kemenangan 2-0 ke atas Selangor.
Dikritik kerana mensia-siakan beberapa peluang keemasan pada aksi pembukaan menentang Lions XII, penyerang tinggi lampai dari St Vincent & Grenadines, Marlon Alex James bangkit pada 10 perlawanan berikutnya untuk membuktikan bahawa dia masih belum kehilangan bisanya apabila membedil 11 gol untuk bergelar pendahulu Kasut Emas.
Sayangnya, kehebatan Marlon gagal diikuti rakan sepasukannya dengan 8 gol memisahkannya dengan penjaring gol kedua terbanyak, Shukor Adan disusuli Christie Jayaseelan (2 gol) yang hanya kembali daripada kecederaan panjang pra-musim pada pertemuan menentang Terengganu manakala lima pemain lain, masing-masing menjaringkan satu gol.
Tiada dalam senarai, Hai-O yang masih menantikan gol pertamanya dengan penjaring kedua terbanyak musim lalu dengan 17 gol itu tidak bernasib baik di depan gawang. Kini seluruh pasukan mengharapkan sentuhan Hai-O akan kembali menjulang ATM pada babak kedua musim dalam mengharungi tempoh ujian yang penuh dengan badai dan ranjau berliku ini.
Penjaring ATM dalam Liga Super
Marlon Alex James 11
Shukor Adan 3
Christie Jayaseelan 2
Rezal Zambery Yahya 1
Amiridzwan Taj Tajudin 1
Irwan Fadly Idrus 1
Irwan Fadly Idrus 1
Nor Fazly Alias 1
Bruno Sebastian Martelotto 1
No comments:
Post a Comment