Jul 3, 2012

SUPER sub Venice letak ATM selangkah hampiri gelaran Liga Perdana


SUPER sub Venice Elphi Danny Kaya meletakkan Angkatan Tentera Malaysia selangkah menghampiri pentas Liga Super apabila ledakan cantiknya dari sayap kiri membolehkan pendahulu Liga Perdana itu meraih tiga mata berharga ke atas USM FC di Stadium Olahraga USM malam tadi.
Kemenangan 2-1 itu kini meletakkan ATM satu kemenangan daripada dua perlawanan untuk mengesahkan tempat mereka dalam senarai pasukan elit tanah air musim depan. 

Kejayaan itu turut melayakkan ATM beraksi dalam saingan Piala Malaysia bersama-sama Pahang dan dua lagi pasukan yang bakal diketahui pada akhir musim.

Ketua pasukan, Hairuddin Omar meletakkan ATM di depan menerusi penyudah cantik seawal minit keempat namun USM FC menyamakan kedudukan tepat pada detik rehat apabila S Veenod meluru masuk sebelum meledakkan rembatan kencang menewaskan penjaga gol, Mohd Farizal Harun.
Kemasukan Venice Elphi jelas membawa impak apabila hantaran lintangnya pada minit ke-56 melepasi pertahanan dan terus menerjah jaring untuk gol keduanya musim ini dan pastinya yang paling bermakna buat dirinya sebagai pemain ATM.

Ketika perlawanan menghampiri detik penamat, penjaga gol, Mohd Farizal bertindak cemerlang dengan menepis keluar rembatan kencang, Mohd Akmal Mohd Noor untuk mengekalkan ATM mendahului lima mata ke atas pencabar terdekat, Pahang yang meraih kejayaan besar 5-1 ke atas MP Muar.

ATM memerlukan sekurang-kurangnya seri menentang MP Muar di tempat sendiri, Jumaat ini untuk mengesahkan gelaran berdasarkan jumlah perbezaan gol yang besar, tetapi buat pengendali, B Sathianathan, dia enggan mengambil risiko dengan mengarahkan pasukannya untuk membedil habis-habisan MP Muar.

“Memang saya yakin dapat meraih tiga mata di tempat sendiri Jumaat ini tetapi dalam bola sepak, apa-apa mungkin berlaku.

“Kalau kita ambil mudah lawan, ia hanya akan mengundang padah buat kami. Kami tidak akan turun memburu keputusan seri sebaliknya mensasarkan tiga mata yang akan mengesahkan gelaran Liga Perdana menjadi milik kami musim ini,” tambah Sathia.

No comments:

Post a Comment