Jan 19, 2012

CHRISTIE bintang ATM baru dalam pembikinan, pasang impian wakil negara suatu ketika nanti


TAMPIL sebagai pemain gantian pada babak kedua, kemasukan Christie Jayaseelan mencetuskan impak serta-merta apabila menjaringkan gol kedua buat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam laluan ke kejayaan 2-0 ke atas Harimau Muda B di Stadium Petaling Jaya semalam.

Masuk menggantikan Zaquan Adha Abd Radzak pada minit ke-56, pemain kelahiran Kajang berusia 25 tahun itu mengesahkan kemenangan ketiga berturut-turut buat barisan bimbingan B Sathianathan apabila meledakkan gol sepuluh minit sebelum tamat selepas bertukar hantaran 1-2 dengan ketua pasukan, Hairuddin Omar.

Jaringannya itu, yang pertamanya musim ini, kian menyemarakkan semangatnya untuk beraksi dengan lebih kerap dalam kesebelasan utama dengan menaruh harapan bahawa persembahannya mampu memikat pengendali, B Sathianathan untuk menurunkannya daripada awal pada perlawanan menentang pencabar terkuat Liga Perdana, Sime Darby, Jumaat ini.

“Saya berharap jaringann itu dapat memikat Sathia untuk menurunkan saya dalam kesebelasan utama bagi perlawanan menentang Sime Darby.

“Saya menyedari bahawa saingan untuk menempatkan diri dalam pasukan begitu sukar dengan kehadiran penyerang ternama seperti Marlon (Alex James), Zaquan Adha dan Hairuddin Omar.

“Tetapi ia sedikit pun tidak menggusarkan saya dengan kehadiran saya di ATM adalah untuk menimba ilmu daripada pemain kebangsaan yang berpengalaman di kelab ini,” kata Christie yang berhijrah daripada PKNS musim ini.

Pemain tengah serangan itu melalui perjalanan berliku sebelum bergelar pemain profesional apabila kelab yang diwakili pada awal kerjayanya, Public Bank menarik diri daripada Liga Malaysia pada 2006 berikutan masalah kewangan.

Keadaan itu memaksa Christie berhijrah ke PKNS yang menyaksikannya membina nama di bawah jurulatih, Abdul Rahman Ibrahim dengan menjaringkan 6 gol sebelum mengambil keputusan untuk menyertai revolusi Sathia musim ini.

Kini, Christie, yang menyimpan impian untuk mewakili negara, berharap persembahan konsistennya mampu diterjemahkan kepada panggilan oleh jurulatih kebangsaan, K Rajagobal untuk menyarung jersi Harimau Malaya suatu ketika nanti.

No comments:

Post a Comment