Jan 25, 2016

Aksi bertenaga TNB, TNB Thunderbolts

Kuala Lumpur (25 Januari 2017): Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak bernasib apabila terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 2-2 ketika bertemu Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) pada aksi Liga Premier, TNB Liga Hoki Malaysia hari ini.

 Ketua jurulatih TNB Muhammad Amin Rahim bagaimanapun tetap gembira dengan keputusan itu kerana sekurang-kurangnya anak buahnya dapat meraih satu mata.

 "Bagi saya inilah aksi terbaik yang dipamerkan oleh barisan pemain saya. Mereka nampak sangat bersungguh-sungguh mahu meraih kemenangan.



 "Malangnya mereka masih lagi tidak dapat mengekalkan momentum ketika mendahului lawan.

 "Apapun semua ini adalah sebahagian daripada proses pembelajaran," katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

 Anak buah Amin mempamerkan aksi bertenaga apabila di depan pada minit ke-17 menerusi jaringan padang Zulhamizan Awang Abas.

 Namun bekas kapten skuad remaja negara Muhammad Noor Faeez Ibrahim berjaya menyamakan kedudukan untuk KLHC minit ke-45 hasil jaringan padang.

 Norhizzat Sumantri kembali meletakkan TNB di depan pada minit ke-50 menerusi gol padang sebelum Mohd Syamim Mohd Yusof memberi kelegaan kepada KLHC dengan jaringan padang tiga minit sebelum tamat perlawanan.

 Sementara itu, di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), TNB Thunderbolts mengejutkan Maybank apabila menewaskan lawan mereka itu 7-3.

 Ketua jurulatih Thunderbolts, Nor Saiful Zaini Nasiruddin nyata amat berpuas hati dengan prestasi barisan pemainnya.

 "Sebenarnya pada perlawanan liga sebelum ini juga barisan pemain saya mempamerkan aksi yang baik. Cuma mereka tidak dapat memanfaatkan peluang untuk menjaringkan gol.

 "Kali ini mereka memanfaatkan semua peluang dengan baik. Barisan pemain pertahanan juga mempamerkan aksi cemerlang apabila sentiasa bertahan dengan baik.



 "Saya harap prestasi terbaik ini dapat diteruskan pada perlawanan liga selepas ini," katanya.

 Hazzim Amin Hafidz meletakkan Thunderbolts di depan pada minit ke-9 menerusi jaringan padang.

 Amirul Hamizan Azhar kemudian menambah dua gol lagi masing-masing pada minit ke-10 dan 19 menerusi pukulan sudut penalti dan gol padang.

 Azrai Aizad Abu Kamal meledak gol keempat menerusi jaringan padang minit ke-37 sebelum Muhammad Safiuddin Nazli menambah gol kelima hasil pukulan sudut penalti minit ke-44.

 Penyerang, Akhimullah Annuar Esook mengukuhkan kedudukan menerusi jaringan padang minit ke-56 dan ke-58 hasil gol padang. 


Keputusan Liga Premier (25 Januari 2017)

TNB Thunderbolts 7 Maybank 3
THT 3 UniKL 0
TNB 2 KLHC 2


SSTMI 2 UiTM-KPT 2