ALOR SETAR (23 NOVEMBER 2014): Saingan
pusingan ketiga Sepaktakraw League (STL) Zon Utara melabuhkan tirai dengan pasukan
InstaPutra muncul juara dengan menewaskan Infratel ‘A’ pada perlawanan akhir
yang berlangsung di Stadium Tertutup Sultan Abdul Halim.
InstaPutra,
diperkuatkan tekong kebangsaan Fazil Asri, Anuar Samsudin dan Afifuddin Razali
mencatat kemenangan 21-13, 21-14 ke atas Infratel yang diwakili Fauzi Ibrahim,
Daud Muhamad dan Jamadi Mazlan untuk muncul juara sekaligus membawa pulang
hadiah wang tunai RM5,000.
Kemenangan
ini juga menyaksikan InstaPutra layak beraksi di pusingan Grand Finals Januari
depan, bersama-sama dengan Mazatech ‘A’ dan ATM ‘F’ yang muncul juara pusingan pertama
dan kedua di Terengganu (Zon Timur) pada 13 – 16 November lalu.
Manakala Infratel
selaku naib juara berpuas hati dengan hadiah wang tunai RM3,000 dan layak
beraksi di pusingan play-off bersama-sama Warisan AZ ‘A’ yang muncul pemenang tempat ketiga selepas
menewaskan ATM ‘J’ dan meraih RM1,000.
Pada perlawanan penentuan tempat ketiga yang berlangsung
tiga set, Warisan AZ dibarisi dua bekas pemain kebangsaan, Nazirul Ikram dan
Zul Effendi Sumari serta Fadzlihaimi Jamaludin tewas 13-21 pada set pertama
tetapi bangkit menang dua set berikutnya 21-19 dan 21-12.
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Presiden Persatuan
Sepaktakraw Malaysia (PSM), Dato’ Haji Ahmad Ismail yang hadir menyaksikan
perlawanan bersama-sama Naib Presiden III PSM, Dato’ Mohd Yusof Ismail, Pengarah
Majlis Sukan Negeri Kedah, Muhammad Mahazi Ibrahim dan Exco Belia dan Sukan Negeri Kedah, Aminudin Omar.
Terdahulu
pada perlawanan separuh akhir, percaturan berani jurulatih InstaPutra, Muhamad
Saffar merehatkan tekong berpengalaman, Fazil Asri dan membariskan Faiz Roslan
sebagai tekong utama hampir membawa padah apabila InstaPutra mencicirkan
beberapa mata mudah sebelum kemasukan Fazil membantu mereka mencatat kemenangan
21-18, 21-12.
Infratel ‘A’
pula menewaskan ATM ‘J’, juga menerusi ‘straight set’ 21-14, 21-15.
STL yang diperkenalkan buat julang kalinya sebagai usaha
merevolusikan arena sepak takraw tempatan dilancarkan secara rasminya oleh
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pada 7 November lalu. Selepas Kuala Terengganu,
dua lagi pusingan berlangsung di Kedah pada 22, 23, 29 dan 30, disusuli Johor
dan Melaka sebelum Grand Finals berlangsung di Kuala Lumpur.
Keputusan:
Suku Akhir: InstaPutra
mng AMZ Sports ‘A’ 2-0 (21-11, 21-13); Infratel ‘A’ mng PSNP 2-1 (21-14, 17-21,
21-18); Warisan AZ ‘A’ mng ATM ‘G’ 2-1 (21-12, 11-21, 21-18); ATM ‘J’ mng
IL-MPSJ 2-1 (15-21, 21-12, 22-20)
Separuh Akhir: InstaPutra
mng Warisan AZ ‘A’ 2-0 (21-18, 21-12) & Infratel ‘A’ mng ATM ‘J’ 2-0
(21-14, 21-15)
Tempat Ke-3
: Warisan AZ ‘A’ mng ATM ‘J’ 2-1 (13-21, 21-19, 21-12)
Akhir : InstaPutra
mng Infratel ‘A’ 2-0 (21-13, 21-14)
JADUAL:
Kedah - (Stadium
Sultan Abdul Halim, Alor Setar; 22-23 Nov & 29-30 Nov).
Johor - (Stadium Tertutup Pasir Gudang; 13-14
Dis & 20-21 Dis).
Melaka - (Stadium
Majlis Perbandaran Melaka, Bukit Seringit; 27-28 Dis, 2014 & 3-4 Jan,
2015).
Grand Final - (Stadium
Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur; 10-11 Jan & 17-18 Jan, 2015).
#STL #SepakTakrawLeague #ASV